suria

PAS Nafi Calon Tak Sedia Punca Debat Di Sg Rapat Batal

IPOH: PAS menafikan dakwaan calonnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat Radzi Zainon tidak cukup persediaan untuk berdebat dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hamidah Osman sehingga debat yang dijadualkan berlangsung malam Khamis terpaksa dibatalkan.

Pesuruhjaya PAS Perak Abu Bakar Hussain berkata dakwaan tersebut tidak benar kerana PAS sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk berdebat dengan mana-mana calon BN.

"Takkanlah dia (Radzi) minta debat, dia yang batalkan.

"PAS bersedia pada bila-bila masa," katanya pada satu sidang media, di ibu pejabat PAS negeri, dekat sini, Jumaat.

Abu Bakar berkata, dakwaan tersebut bertentangan dengan apa yang sebenarnya berlaku di lokasi debat yang ditetapkan iaitu di Taman Maju Rapat, Ipoh.

Sebaliknya, beliau mendakwa punca debat tidak dilangsungkan disebabkan oleh Hamidah sendiri yang memberikan alasan tiada permit yang disifatkan 'kebudak-budakan' untuk mengelak daripada berdebat dengan calonnya.

Sementara itu, Hamidah yang dihubungi mStar Online mengakui beliau telah menerima pelawaan dan cabaran debat yang ditawarkan PAS Perak.

Beliau yang hadir bersama-sama penyokongnya di lokasi yang ditetapkan bagaimanapun meninggalkan majlis setelah penganjur majlis membuat pengumuman bahawa acara debat telah dibatalkan.

"Pembatalan diumumkan sendiri oleh penganjur PAS melalui 'PA System' kerana tiada permit.

"Mereka ada permit tapi hanya permit ceramah, bukan permit debat. Kedua-dua permit ini berbeza," katanya.

Hamidah menjelaskan, debat seharusnya dibuat di tempat tertutup dan mempunyai keseimbangan dari segi jumlah penyokong.

Hamidah yang juga bekas Exco kerajaan negeri Perak telah menerima pelawaan debat Sekolah Agama Rakyat Taman Pegoh Aman dengan syarat majlis diadakan dengan mendapat permit polis.

Difahamkan PAS Perak selaku penganjur telah mendapatkan permit bagi membolehkan majlis debat berlangsung.

Kehadiran kedua-dua calon di tempat yang ditetapkan tetapi majlis terpaksa dibatalkan menimbulkan banyak spekulasi dan dakwaan termasuklah calon PAS tidak cukup persediaan.

Artikel Lain