suria

Menang Atau Kalah Di Perak, Pembangkang Janji Tak Buat Kecoh

IPOH: Sama ada menang atau kalah di Perak, Pakatan Rakyat (PR) memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kekecohan yang akan ditimbulkan oleh penyokong-penyokongnya.

Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Perak Salman Salleh berkata jaminan ini dibuat berdasarkan pengalaman mengawal pilihan raya umum terdahulu dan jentera keselamatan PR yang mampu mengawal penyokong dan keadaan sepanjang tempoh berkempen kali ini.

"Bagi pihak PAS Perak kami telah bersedia menerima apa jua keputusan yang adil yang ditentukan oleh rakyat Perak.

"Sama ada menang atau kalah, kami pernah menang sebelum ini...kalah juga bukan perkara baru buat kami. Kami boleh terima perkara ini," katanya pada sidang media, dekat sini, Jumaat.

Menurut Salman, secara keseluruhan jentera PR yang ditugaskan untuk mengawal keadaan dalam tempoh kempen telah berjaya mengawal penyokong-penyokong daripada sebarang provokasi dan melakukan perkara tidak baik.

Katanya, walaupun terdapat beberapa insiden dan kekacauan tetapi secara keseluruhannya ia boleh dikawal dengan kerjasama dan bantuan yang diberikan pihak polis.

"Dalam tempoh dua minggu ini jentera kami telah melakukan gerak kerja yang diarahkan oleh parti dan mengikut lunas undang-undang. Petugas-petugas kami telah berjaya mengawal provokasi yang berlaku.

"Semalam (Khamis) kami telah bermesyuarat dengan jentera keselamatan PAS Perak dan jabatan amal PAS yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga urusan keselamatan di seluruh kawasan untuk mengawal penyokong dan pendokong kami daripada bertindak di luar batasan undang-undang," katanya.

Dalam pada itu beliau berharap agar pihak lawan turut mematuhi undang-undang bagi memastikan tiada kekacauan yang datang dari pihak mereka.

"Itu di luar kawalan kami. Bagi pihak PR tak ada masalah.

"Kami sangat yakin tidak akan ada kucar-kacir daripada pihak kami dengan syarat tiada penipuan dan provokasi melampau daripada parti lawan," katanya.

Artikel Lain