suria

'Keluargaku Pengundi BN' Pemangkin BN Menang Majoriti Dua Pertiga

SHAH ALAM: Kempen 'Keluargaku Pengundi Barisan Nasional (BN)' yang dilancarkan Veteran Umno Malaysia akan menjadi pemangkin bagi BN memenangi kembali dua pertiga majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata melalui kempen yang dilancarkan pada Februari lepas itu, lebih 750,000 anggotanya dan sekurang-kurangnya lima anggota keluarga mereka bakal mengundi BN pada PRU-13.

"Kami yakin dengan sokongan 3.5 juta pengundi itu bakal menjadi pemangkin bagi BN menang dua pertiga kerusi dan merampas kembali empat negeri yang dikuasai pembangkang.

"Jumlah ini pemangkin kerana sokongan 3.5 juta itu bukan terhenti di setakat itu sahaja, mereka semua juga akan memastikan rakan di sekeliling mereka mengundi BN," katanya.

Beliau berkata inilah masanya bagi semua anggota Veteran Umno berjihad untuk memastikan negara ini tidak jatuh ke tangan pembangkang yang bertujuan merosakkan agama, bangsa dan negara.

"Kemungkaran yang dilakukan oleh pembangkang wajib dihentikan demi kestabilan politik, perpaduan ummah dan kemakmuran ekonomi. Inilah masanya kita berjihad bagi memastikan pembangkang terkubur dan BN menang besar pada PRU kali ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain