suria

Diserang Ketika Menuju Tempat Ceramah

IPOH: Lima cedera manakala dua kereta rosak akibat diserang sekumpulan lelaki ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke lokasi ceramah di Taman Desa Aman, Batu 6, Teluk Intan malam Khamis.

Jurucakap media pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kontinjen Perak, Supt Maszely Minhad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, kumpulan tersebut bertindak membaling batu dan pelbagai objek ke arah kereta mangsa.

Beliau berkata setakat ini polis telah menahan empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana khianat," katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong berkata kumpulan itu bertindak memecahkan cermin kereta dengan menggunakan batu bata dan pasu bunga.

"Bilangan kumpulan itu ramai menyebabkan mereka tidak dapat melawan tindakan yang cukup agresif itu," katanya dan menasihati pengundi agar tidak merasa takut untuk keluar mengundi Ahad ini. -BERNAMA

Artikel Lain