suria

Detik Untuk Buat Pilihan Semakin Hampir

KUALA LUMPUR: Ahad ini, lebih 8,000 pusat mengundi akan dibuka di seluruh negara untuk membolehkan rakyat Malaysia mengundi dalam apa yang disifatkan sebagai pilihan raya umum (PRU) paling sengit untuk membentuk kerajaan dalam sejarah 56 kemerdekaan negara ini.

PRU13 dilihat amat penting berikutan wujudnya kesedaran dalam kalangan pengundi bahawa kini mereka benar-benar memegang kunci untuk menentukan masa depan negara ini.

Walaupun persaingan untuk merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi negeri merupakan perkara paling utama pada PRU kali ini, namun perkara yang tidak kurang pentingnya untuk dilihat ialah sama ada rakyat menerima kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu tekun berusaha untuk melaksanakan transformasi atau mereka menyerahkan negara ini untuk julung kalinya kepada Pakatan Rakyat, yang belum pernah teruji, dengan anggotanya pula berkongsi amat sedikit persamaan, kecuali cita-cita untuk menduduki Putrajaya.

Buat julung kalinya, Najib menerajui Barisan Nasional (BN) menghadapi PRU sebagai perdana menteri sejak mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada April 2009, 12 bulan selepas tsunami politik melanda PRU 2008, yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, manakala Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor terlepas kepada Pakatan Rakyat.

Sebaik saja menduduki kerusi perdana menteri, Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia dan melaksanakan transformasi kerajaan, politik serta sosioekonomi untuk merintis jalan ke arah masa depan negara yang lebih bersifat terangkum untuk semua rakyat.

Dalam keadaan ekonominya berada di landasan kukuh untuk menuju 2020, tahun yang disasarkan bagi Malaysia mencapai taraf negara Dunia Pertama, cabaran terbesar yang dihadapi Najib ialah untuk meyakinkan pengundi bahawa kerajaan B Nyang dianggotai 13 parti komponen, bukan sahaja memiliki keazaman untuk melakukan perubahan, tetapi juga transformasi yang dilakukannya merupakan sesuatu yang tepat.

Walaupun mendapat tentangan hebat pembangkang, Najib tidak pernah berganjak daripada usaha beliau untuk memperoleh mandat lebih besar bagi memastikan beliau mendapat sokongan kukuh daripada rakyat serta keadaan stabil untuk membolehkannya terus menunaikan tanggungjawab dan melakasanakan aku jani yang terkandung dalam manifesto BN, termasuk dasar yang adil dan saksama bagi semua kaum di Malaysia serta mewujudkan masa depan yang lebih makmur untuk mereka.

"Pilihan raya kali ini ialah mengenai mengotakan janji, memenuhi harapan dan menjunjung amanah. Ia bukan mengenai janji kosong, menyebar pembohongan dan menyemai perasaan benci.

"Saya merayu kepada anda supaya melihat, mendengar dan berfikir dengan sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan tentang masa depan negara ini," kata Najib dalam surat terbukanya kepada rakyat.

Dalam nada parau akibat tidak henti-henti berkempen ke seluruh negara, Najib mengajak rakyat merenung janji yang tidak tertunai oleh pakatan rakyat di negeri yang mereka kuasai sebelum ini, termasuk Kelantan, yang tercicir daripada arus utama pembangunan sepanjang terletak di bawah pentadbiran PAS sejak 23 tahun lepas.

Ketabahan dan kecemerlangan Najib dalam menerajui ekonomi negara, seperti yang dapat dilihat melalui pertumbuhan pesat sebanyak 5.6 peratus pada tahun lepas dalam keadaan dunia yang dilanda kelembapan ekonomi, menjadi duri bagi pembangkang yang cuba menenggelamkan tema transformasi BN melalui laungan mereka, 'Ubah'.

Populariti Najib, yang mempunyai 1.5 juta pengikut melalui Twitter dan 1.7 "suka" dalam Facebooknya, dilihat menjadi faktor penting yang akan membolehkan beliau meraih lebih banyak undi dan membawa pengundi atas pagar memihak kepada BN, terutama kepada parti komponennya seperti MCA, Gerakan dan MIC, yang mencatat prestasi lemah pada PRU 2008.

PRU13 mempunyai 13.27 juta pengundi berdaftar, berbanding 10.9 juta pada 2008 dan ini bermakna, sebahagian besar rakyat Malaysia mempunyai suara dalam memilih kerajaan akan datang.

Memandangkan satu perlima daripada jumlah itu merupakan pengundi baharu, maka mereka yang akan keluar mengundi Ahad ini dijangka besar jumlahnya. Sebanyak 76 peratus pemilih keluar mengundi pada PRU 2008.

Laluan ke Putrajaya dicemari perbalahan, pemecatan anggota yang menjadi pembelot daripada BN dan pembangkang, perbuatan khianat, keganasan fizikal dan buat julung kalinya, penggunaan media sosial untuk menghamburkan kata-kata nista serta melakukan buli melalui alam maya terhadap penyokong terbuka seperti pelakon filem Bond Datuk Seri Michelle Yeoh, yang memberi sokongan padu terhadap kepimpinan Najib.

Tempoh berkempen selama 15 hari, tempoh paling panjang dalam tiga dekad,, menyaksikan tercetusnya ketegangan dalam kem pakatan rakyat apabila PAS bertegas untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan mengambil alih kepimpinan negara selepas PRU13 dan pendirian PAS ini menyebabkan pengerusi DAP Karpal Singh menuntut pemimpin umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian beliau tentang perkara itu.

Tindakan Anwar yang mengambil masa seminggu untuk memberi respons terhadap perkara itu menimbulkan keresahan dalam kalangan pengundi bukan Islam dan pendirian yang beliau ambil kemudian menghalang daripada berlakunya keretakan meluas dalam hubungan antara PKR dan DAP dengan PAS.

Melalui catatan dalam blognya hari ini, Anwar berkata hukum hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa wujudnya majoriti dua pertiga di Parlimen untuk membolehkan perlembagaan negara dipinda dan pelaksanaan hukum hudud bukan menjadi objektif pembangkang.

Jelas sekali, antara pertarungan paling sengit pada PRU13 ialah bagi kawasan parlimen Gelang Patah di Johor, yang mempunyai majoriti penduduk Cina, yng melibatkan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan penasihat DAP Lim Kit Siang pertarungan pertama yang melibatkan tokoh besar Umno dan Lim, yang kali ini bertanding di kawasan parlimen ketujuh dalam 10 PRU yang disertainya.

Walaupun menyuarakan kebimbangan beliau tentang percubaan pembangkang untuk mempolarisasikan pengundi Cina, namun Abdul Ghani, yang terkenal sebagai pemimpin berperibadi luhur, yakin rekod pencapaian dan prestasi cemerlangnya sebelum ini memberi kelebihan kepadanya. -BERNAMA

Artikel Lain