suria

BN Yakin Kekal Berkuasa Di Putrajaya - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional akan kekal berkuasa di Putrajaya dengan memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad ini berikutan penerimaan rakyat di seluruh negara.

"Saya boleh laporkan kepada tuan, puan, setelah berjalan di seluruh pelusuk negara, (saya dapati) rakyat Malaysia masih bersama BN.

"Justeru dengan izin Allah pada malam 5 Mei ini, BN akan kembali berkuasa di Putrajaya," kata perdana menteri ketika berucap pada majlis 'PM Bersarapan Bersama Penduduk' di Dengkil Centre Point, dekat sini Jumaat.

Ucapan beliau itu disambut dengan tepukan gemuruh ribuan hadirin yang membanjiri perkarangan kawasan itu sejak awal pagi.

Turut hadir ialah calon-calon BN kerusi parlimen Sepang Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, kerusi dewan undangan negeri (DUN) Dengkil Shahrum Mohd Shariff, DUN Tanjung Sepat Nisman Yusof dan DUN Sungai Pelek Ng Chok Sin.

Pengerusi BN itu berkata rakyat sedar bahawa dasar transformasi nasional yang diperkenalkan kerajaan boleh membawa kebaikan dan kesejahteraan buat mereka.

"Dasar ini terletak di tangan BN dan tanpa BN, transformasi tidak akan berlaku...rakyat baik di Selangor dan negeri lain akan menuju ke masa depan yang kelam (tanpa dasar ini).

"Mereka yakin dan percaya (dengan BN). Pilihan rakyat ialah BN. Mereka faham kerajaan pusat dan negeri perlu datang daripada parti yang sama," katanya.

Dalam pada itu, Najib yang juga pengerusi BN Selangor yakin parti gabungan itu dapat menawan kembali Selangor termasuk memenangi kesemua kerusi parlimen dan DUN di Sepang.

"Kita telah berusaha selama lima tahun untuk kembalikan keyakinan rakyat Selangor. Kita telah pulihkan semangat jentera. Kita juga sudah minta maaf atas kesilapan lalu. Marilah buka lembaran baru di negeri ini," katanya.

Beliau berkata setelah lima tahun pakatan rakyat memerintah Selangor, rakyat hilang keyakinan kepada pakatan itu dan buktinya jelas apabila Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri 'melarikan diri' untuk bertanding kerusi DUN Pelabuhan Klang daripada DUN Ijok.

Najib turut menasihatkan jentera parti supaya terus bekerja sebagai satu pasukan dan sama-sama menyumbang kepada kejayaan BN.

"Tidak semestinya kena jadi wakil rakyat, banyak cara lagi untuk bantu rakyat. Mesti adil saksama dan tolong orang lain.

"Inilah ikrar janji kita dan kita akan tunaikan janji kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain