suria

BN Sarawak Yakin Menang 26 Daripada 31 Kerusi Pada PRU-13

KUCHING: Sokongan kukuh rakyat Sarawak terutama pada hari-hari terakhir kempen, memberi keyakinan kepada gabungan Barisan Nasional (BN) Sarawak bahawa ramalan konservatifnya untuk memenangi 26 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertaruhkan di negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 boleh menjadi kenyataan.

Pendorong kepada keyakinan itu, sudah pastinya datang daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN.

Beliau telah mampu merapatkan rakyat dengan lebih dekat kepada BN dengan lawatan kempen tanpa mengira penat lelah, termasuk menaiki helikopter dari satu tempat ke satu tempat ke kawasan-kawasan pedalaman di Lubok Antu serta Saratok, Kuching dan Sibu untuk menarik pengundi, berbekalkan manifesto "Aku janji" BN.

"Mesej BN telah disampaikan dengan baik kepada rakyat, yang sudah bosan dengan pembohongan pembangkang mengenai isu-isu seperti Hak Adat Pribumi (NCR)dan projek-projek empangan," kata anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang, yang merupakan anggota jentera pilihan raya yang mengendalikan bilik operasi PBB di ibu pejabat PBB di sini.

Beliau berkata melindungi hak rakyat ke atas tanah, termasuk tanah NCR untuk Bumiputera, adalah salah satu keutamaan kerajaan BN di bawah program transformasi Najib di peringkat persekutuan dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di peringkat negeri.

Setelah mendengar banyak rungutan mengenai pembangkang daripada rakyat, beliau yakin BN negeri akan memenangi 26 kerusi walaupun segalanya mungkin sehingga pengundian Ahad ini. Berdasarkan senario ramalan ini, PBB, parti komponen BN Sarawak yang paling berdisiplin, boleh menjangka 100 peratus kemenangan dengan mengekalkan kesemua 14 kerusi yang ditandingi terutama di kawasan luar bandar, kata beliau.

Seorang lagi penganalisis politik BN berkata undi bumiputera daripada pengundi Melayu/Melanau di kerusi majoriti Cina bandar di Lanang dan Sibu boleh diharapkan untuk menambah undi yang memihak kepada BN walaupun kedua-dua kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah diletakkan sebagai "hitam-kelabu" oleh gabungan itu.

Pada masa ini, hanya kerusi Parlimen Serian daripada tujuh kerusi SUPP dikategorikan sebagai "putih" atau selamat bagi BN kerana banyak pengundi Bidayuh di luar bandar tetapi beliau percaya parti itu masih mempunyai "semangat berjuang untuk peluang berjuang," terutama setelah Najib mendapat sokongan di kawasan-kawasan Cina di seluruh negara.

Masyarakat perniagaan tempatan juga memihak kepada BN kerana mula menyedari bahawa tidak ada pihak lain kecuali BN yang boleh melaksanakan, katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, SUPP memenangi enam daripada tujuh kerusi yang dipertandingkan tetapi kehilangan satu lagi kerusi, Sibu, pada pilihan raya kecil parlimen dua tahun kemudian.

Walaupun personaliti calon-calon memainkan peranan yang penting, pengumuman Najib mengenai pendirian BN terhadap Parti Pekerja Sarawak (SWP) semasa lawatannya ke Lubok Antu baru-baru ini juga memberi tamparan kepada usaha parti yang mendakwa mereka sebagai parti mesra BN itu untuk menghalang Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi semua enam kerusi di negeri itu.

Tindakan berkenaan telah menjelaskan keadaan dan bagi pendirian BN, disebabkan pengundi kini boleh membuat pilihan yang lebih baik dengan memilih B Ndan transformasinya yang berterusan daripada sebuah parti yang berorientasikan keluarga di mana menyaksikan Presiden SWP Larry Sng bertanding di Lubok Antu, bapanya Datuk Sng Chee Hua di Selangau dan bapa saudara, George Lagong, di Hulu Rajang.

Penganalisis politik itu berkata keyakinan PKR untuk merebut Saratok telah terjejas apabila Perdana Menteri berkempen untuk calon BN Tan Sri William Mawan yang menentang calon PKR Ali Biju dalam pertandingan tiga penjuru yang turut melibatkan calon bebas, Datuk Abang Rosli Abang Paleng.

Najib berjaya meyakinkan penyandang Jelaing Mersat, yang tidak disenaraikan sebagai calon dan penyokong-penyokongnya untuk bersama-sama BN.

Beliau berkata bagi Mawan, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan seorang menteri negeri yang beliau sifatkan sebagai "seorang yang diplomatik dan survivor,", pertaruhan adalah terlalu tinggi kerana Ali disifatkan sebagai popular di Krian kerana kapasiti beliau sebagai ADUN.

Selain dari Saratok, SPDP juga bertanding di tiga kerusi lain termasuk Baram di mana muka baharu Anyi Ngau dijangka memberi pendekatan baharu kepada isu empangan Baram, menekankan pembangunan projek-projek hidro berfungsi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Pada Ahad ini, pengundi di Sarawak hanya akan memilih wakil-wakil mereka di Dewan Rakyat memandangkan tempoh 71 anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak hanya berakhir pada 2016. -BERNAMA

Artikel Lain