suria

BN Layan Semua Agama Sama Rata - Abdul Taib

PADAWAN (Sarawak): Barisan Nasional mempunyai rekod yang sudah terbukti tidak memihak dalam mentadbir penduduk pelbagai kepercayaan dan agama di negara ini, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata pendirian ini membolehkan kerajaan BN memperoleh keyakinan rakyat daripada pelbagai agama, dan menerusi nilai baik semua agama, jalinan kerjasama yang kukuh telah dapat diwujudkan.

"Dari Kerajaan Pusat hinggalah kepada kerajaan negeri, sokongan rakyat selama ini menunjukkan Barisan Nasional boleh diberikan kuasa, tidak menyalahgunakan kuasa, dan dipandu oleh prinsip keadilan dan kesaksamaan," katanya semasa merasmikan masjid baharu, Masjid Darul Iman, di Kampung Sri Arjuna di sini.

Program itu merupakan sebahagian daripada siri kempennya di kawasan Parlimen Kota Samarahan, yang menyaksikan calon muka baharu Barisan Nasional, Rubiah Wang, berhadapan calon PAS, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, Ahad ini.

Abdul Taib yang juga pengerusi BN negeri berkata menerusi BN, umat Islam dapat bekerja bersama-sama bukan Islam dan saling menghormati satu sama lain yang membolehkan penduduk hidup dalam suasana aman dan stabil.

Mengenai persingggahannya di Kampung Sri Arjuna, Taib berkata kampung itu instrumental baginya kerana di situlah beliau mula berkempan sebelum memenangi kerusi Kota Samarahan buat kali pertama pada 1969.

Taib menyandang kerusi itu selama sembilan penggal berturut-turut sehingga 2008 apabila anak lelakinya Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman, bertanding pada pilihan raya umum ke-12.

Menurutnya Penghulu Dollah Sabri Wongso, ketua kampung itu merupakan teman rapatnya sepanjang menjadi anggota Parlimen Kota Samarahan.

"Saya berharap sebelum bersara, saya dapat kembali ke Kampung Sri Arjuna untuk menyampaikan sendiri ucapan terima kasih kepada penduduk yang memberikan sokongan kepada Barisan Nasional selama lebih 40 tahun saya menjadi wakil rakyat di situ," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain