suria

BN Beri Fokus Utama Kawasan Kelabu Di Sabah

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya lapan kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikenalpasti sebagai kawasan kelabu di Sabah menjadi fokus utama Barisan Nasional (BN) dalam tempoh 24 jam terakhir untuk memastikan kemenangan berpihak kepada parti itu.

Sumber BN berkata, mereka yakin mempertahankan lebih dua pertiga daripada 60 kerusi DUN memandangkan petugas parti berjaga mengetuk pintu rumah ke rumah untuk meyakinkan pengundi.

Namun yang menjadi kebimbangan adalah mengenai wujudnya sabotaj dalaman parti.

Mereka tidak menolak kemungkinan para pengundi memilih BN di kerusi DUN dan kerusi Parlimen kepada pembangkang di beberapa kawasan.

Pakatan Rakyat dan parti pembangkang di Sabah iaitu Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Reformasi Negeri Sabah (STAR) mungkin bakal mencipta kejutan di beberapa kerusi kawasan kelabu dan hitam.

Salah sebuah kerusi Parlimen di kawasan hitam adalah Beaufort yang dipertahankan oleh Datuk Lajim Ukin (PKR) yang menang di bawah Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Kini, Umno Sabah berusaha keras untuk memenangi semula kawasan itu.

BN juga melipatgandakan usaha untuk memutihkan semula kawasan hitam di Penampang dan Kota Marudu masing-masing disandang oleh dua menteri iaitu Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Dompok yang juga Presiden Upko dan Dr Maximus, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah berdepan cabaran sengit pelbagai penjuru daripada calon pembangkang.

Artikel Lain