suria

TNB Jelaskan Caj Tambahan 1 Peratus Bagi Dana Tenaga Boleh Baharu

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada Khamis berkata caj tambahan satu peratus kepada pengguna elektrik bagi Dana Tenaga Boleh Baharu (RE Fund) bukan suatu yang baharu atau satu skim untuk mengutip wang daripada pelanggan.

Syarikat utiliti itu berkata ia hanya bertindak sebagai ejen pengutip sebagai mewakili Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), agensi di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, bagi dana tenaga boleh baharu.

"Bermula Disember 2011, caj satu peratus dikenakan bagi semua pengguna, kecuali bagi pelanggan domestik yang menggunakan kurang daripada 300 jam kilowatt elektrik atau bersamaan dengan RM77 sebulan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan bagi menjelaskan tentang tuduhan yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini berkaitan dengan caj satu peratus bagi Dana Tenaga Boleh Baharu.

Syarikat itu berkata caj satu peratus itu dikenakan susulan pelancaran sistem galakan, mekanisme pembiayaan di bawah Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 dan Akta SEDA 2011, untuk menggalakkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui menerusi perkongsian kos dalam kalangan pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia. -BERNAMA

Artikel Lain