suria

Timb Pengerusi DAP Johor, Fernandez Buat Pusingan 'U', Kini Minta Ahli Undi PAS

Norman Fernandez
 Norman Fernandez
Norman Fernandez

JOHOR BARU: Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fendandez pada Khamis membuat pusingan 'U' apabila menarik balik kenyataan kontroversinya yang meminta ahli parti itu supaya tidak mengundi PAS pada pilihan raya kali ini.

Fernandez mengulanginya sokongannya terhadap PAS ekoran daripada jaminan yang diberikan oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat bahawa mereka akan berpegang kepada manifeto bersama, yang tidak merangkumi pelaksanaan hukum Hudud.

Beliau berkata dia tidak dipaksa untuk menarik balik kenyataannya sebelum ini.

Fernandez berkata beliau yakin, kedua-dua pemimpin iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyelesaikan isu berkenaan.

Menurutnya pimpinan DAP telah memutuskan mulai sekarang hanya dua pemimpin berkenaan akan membuat kenyataan mengenai undang-undang hudud.

"Saya akan patuh kepada keputusan berkenaan dan tidak lagi akan memberi sebarang kenyataan berhubung isu tersebut. Saya berharap pemimpin lain juga akan turut bertindak sedemikian," katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata dia akan mengundi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang akan bertanding di kerusi Parlimen Pulai.

Salahuddin yang sebelum ini melahirkan rasa kecewanya mengenai kenyataan Fernandez turut hadir pada sidang media tersebut.

Beliau bagaiamapun tidak memberi jaminan yang jelas mengenai pelaksanaan hudud di Johor sekiranya Pakatan berjaya membentuk kerajaan negeri.

"Hudud sentiasa menjadi agenda utama PAS dan pemimpin kita telah bersetuju ia tidak sesuai untuk melaksanakannya ketika ini.

"Apabila tiba masanya kita melaksanakannya juga," katanya.

Salahuddin turut menjelaskan bahawa PAS masih belum dapat melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Kenyataan Fernandez sebelum ini menjadi kontroversi apabila dia menggesa ahli DAP menolak PAS dengan tidak mengundi calon daripada parti itu pada pilihan raya kali ini.

Beliau berkata rakyat Johor tidak boleh memperjudikan nasib dan masa depan mereka dengan memilih parti Islam itu.

Artikel Lain