suria

Teng Chang Yeow Terima Ugutan Bunuh

Teng Chang Yeow
Teng Chang Yeow
Teng Chang Yeow

BUKIT MERTAJAM: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow pada Khamis menerima kotak berisi bangkai seekor ayam jantan yang masih berdarah dan satu nota ugutan dalam bahasa Mandarin.

Ketua Parti Progresif Penduduk (PPP) bahagian Batu Kawan T. Muniandy berkata kotak itu diletak di hadapan pintu bilik operasi BN Bukit Tengah, di sini oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

"Kira-kira pukul 3.45 petang beberapa petugas parti termasuk saya berada di bilik gerakan itu dan kami mendengar ada orang ketuk pintu.

"Saya keluar melihat dan mendapati ada satu kotak dan nampak kelibat individu turun tangga. Saya terus mengejarnya tetapi tidak berjaya. Cuma nampak dari belakang...lelaki itu memakai t-shirt dan seluar jeans serta topi keledar," katanya pada sidang akhbar di bilik operasi itu, di sini Khamis.

Beliau berkata seorang petugas membuka kotak itu dan mendapati seekor ayam jantan yang disembelih lehernya dan masih berdarah serta satu nota ugutan terhadap keselamatan keluarga Teng.

"Nota dalam bahasa Mandarin itu bermaksud 'mahu Teng Chang Yeow berundur daripada pilihan raya kalau tidak seluruh keluarganya akan menerima nasib seperti ayam itu'," katanya.

Muniandy berkata beliau menghubungi polis dan memaklumkan kejadian itu kepada Teng. Teng yang juga calon BN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah berkata beliau telah beberapa kali menerima ancaman secara lisan sejak menjadi Pengerusi BN negeri April lepas.

"Tetapi ini kali pertama saya terima ugutan seperti ini...jangan sasarkan keluarga saya yang tiada kena mengena dengan politik," katanya.

Beliau merayu semua pihak agar tidak terlalu emosi dalam berkempen dan tidak melakukan perkara yang boleh merugi serta memperjudikan masa depan.

Beliau akan membuat laporan polis berhubung ugutan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), di sini pada pukul 7 petang ini. -BERNAMA

Artikel Lain