suria

Teh Dakwa Jamuan Makan Malam Diganggu Parti Lawan

KLANG: Barisan Nasional (BN) Klang pada Khamis mengutuk tindakan penyokong parti lawan yang didakwa mereka mengganggu majlis jamuan malam yang dihadiri calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandaraman, Datuk Ching Eu Boon di Pandamaran di sini, Sabtu lepas.

Pengerusi BN Klang, Datuk Teh Kim Poo yang juga calon Parlimen Klang berkata ketika majlis itu berlangsung, kira-kira 20 kereta penyokong pakatan sengaja melalui kawasan itu berulang kali dengan kereta mereka sambil membunyikan hon dengan kuat, dalam kejadian pada pukul 8.49 malam itu.

"Lebih teruk lagi apabila mereka memasang mercun di tepi jalan serta melepaskan mercun roket sebanyak tiga kali sebelum beredar dari kawasan majlis.

"Kami percaya motif mereka ialah untuk merosakkan majlis makan malam itu dan ramah mesra calon BN bersama rakyat...perkara itu sangat mengecewakan kerana jentera atau penyokong kami tidak pernah melakukan perkara sedemikian terhadap mereka," katanya pada sidang akhbar di sini.

Hadir sama Eu Boon, calon BN bagi kerusi DUN Pelabuhan Klang Datuk Nasaruddin Md. Zin dan calon BN bagi kerusi DUN Kota Alam Shah Datuk Maglin Dennis D'Cruz. -BERNAMA

Artikel Lain