suria

Pembangkang Makin 'Desperado' Sebar Fitnah - Muhyiddin

KUANTAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pakatan Rakyat kini semakin 'desperado' dan dalam keadaan terdesak ini mereka menyebarkan pelbagai fitnah mengarut, memburukkan-burukkan Barisan Nasional, menjelang hari pengundian Ahad ini.

Timbalan perdana menteri berkata penyebaran menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), blog dan media sosial yang dikuasai mereka, semakin berleluasa untuk cuba mewujudkan suasana cemas dalam kalangan pengundi.

"Saya juga terima beberapa SMS, yang disebar penyokong pakatan pembangkang, katanya (antara lain) kita (BN) akan angkut 70,000 pengundi nak dihantar ke Johor kerana Johor dia (PR) kata Johor (BN) nak kalah, jadi kena bawa orang luar termasuk orang Bangladesh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Himpuna, Rakyat 1Malaysia di Taman Tas, di sini, Khamis.

Beliau mengulas penyebaran SMS, laporan media sosial dan blog propembangkang, yang membuat pelbagai dakwaan memburuk-burukkan BN pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Muhyiddin berkata berdasarkan maklumat yang diterimanya, akan lebih banyak lagi fitnah terancang dilakukan PR, termasuk cuba menimbulkan suasana tidak tenteram pada hari pengundian.

Ditanya tentang tindakan pihak berkuasa terhadap pelbagai dakwaan yang dibuat pimpinan PR termasuk kononnya BN akan membawa pengundi luar semasa hari pengundian nanti, Muhyiddin berkata: "Ini semua penipuan untuk mempengaruhi pengundi dan penyokong mereka, kononnya PR sudah hampir menang, inilah (dakwa mereka) penipuan yang akan dibuat Barisan Nasional," kata Muhyiddin.

Beliau berkata senario yang sedang berlaku ini menyebabkan pasukan keselamatan dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa melakukan banyak kerja untuk memperbetul dan menangani pelbagai dakwaan berniat jahat itu.

Muhyiddin berkata apa yang penting kini ialah rakyat bijak menilai setiap kali disalurkan maklumat yang diterima menerusi SMS atau mengikuti laporan blog atau media sosial propembangkang.

"Mereka (pembangkang) ini sebenarnya pada saat-saat (menjelang pengundian) mereka menjadi gelabah, kenyataan pemimpin mereka bercanggah, secara terbuka berlaku pentelingkahan antara DAP dan PAS, (manakala) (Datuk Seri) Anwar Ibahim pula tidak buat komen apa-apa pun (perselisihan antara DAP-PAS), ada juga pemimpin PAS yang minta kaji kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat.

"Keadaan teruk sedang mereka hadapi, saya yakin rakyat semakin faham, jadi kebimbangan itu menjadikan mereka desperado, terdesak, buat pelbagai (cara) untuk nak cari (timbulkan) masalah," kata Muhyiddin.

Mengulas kedudukan BN ketika ini, Muhyiddin berkata beliau yakin masih mampu menang termasuk di negeri-negeri yang dikuasai PR pada 2008.

Beliau berkata BN mempunyai asas-asas tertentu dan bukannya semberono, apabila melahirkan keyakinan menang pada pilihan raya umum kali ini, termasuk di negeri-negeri yang dikuasai PR.

Mengenai sokongan pengundi Cina, Muhyiddin berkata ia boleh dilihat dalam pelbagai peringkat: "Bagi kawasan luar bandar, lebih baik, tempoh tiga hari ni, dan kita yakin akan ada perubahan lagi,".

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, calon BN bagi kerusi parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Sungai Lembing Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, calon BN DUN Lepar Mohd Shohaimi Jusoh, dan calon BN DUN Pancing Datuk Mohd Zaili Besar. -BERNAMA

Artikel Lain