suria

Lebih Daripada Tujuh Projek Akan Dilaksana Jika Rakyat Kelantan Beri Mandat Pada BN - PM

PASIR PUTEH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) memberi jaminan untuk melaksanakan lebih daripada tujuh projek di Kelantan yang diumumkan sebelum ini sekiranya diberi mandat oleh rakyat negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Ambo (saya) beri jaminan, kalau Barisan Nasional (BN) menang, lebuh raya... kita akan buat...stadium kita buat... 'The Red Warriors' (gelaran skuad bola sepak Kelantan) akan kuat.

"Tujuh projek itu boleh kita buat. Itu baru permulaan. Kita boleh buat banyak lagi (jika diberi mandat)," katanya ketika berucap kepada kira-kira 20,000 hadirin pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai dekat sini, Khamis.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri dalam lawatan seharinya ke Kelantan mengumumkan tujuh projek yang akan dilaksanakan oleh BN sekiranya diberi mandat oleh rakyat negeri itu pada PRU-13.

Antara tujuh projek yang diumumkan Najib ialah pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baru dan menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Najib berkata, sampai bila kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS selama 23 tahun hendak menipu rakyat kerana tidak melaksanakan janji-janjinya.

"Sampai bila nak tipu rakyat. Cukuplah 23 tahun, apa lagi nak tipu rakyat?

"Ini kata nak buat lebuh raya Kuala Krai-Kota Baru... mereka buat tabung. Ingat boleh buat lebuh raya dengan tabung. Kos lebuh raya RM2 bilion (ringgit), mana mereka mampu," katanya.

PAS sebelum ini menjanjikan rakyat Kelantan untuk membina lebuh raya Kuala Krai-Kota Baru yang menelan belanja RM1.8 bilion.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru rakyat negeri itu untuk menderma bagi membolehkan projek berkenaan dapat dilaksanakan.

Artikel Lain