suria

Kemuncak Kempen BN Himpun Anak Muar Sebelum Keluar Mengundi

MUAR: Selepas pelbagai usaha dilakukan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Barisan Nasional (BN) Bahagian Muar akan menganjurkan sebuah perhimpunan untuk anak-anak daerah itu di Stadium Sultan Ibrahim pada malam Jumaat.

Calon BN Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata ia bertujuan mengumpulkan anak-anak Muar yang terdiri daripada petugas dan penyokong BN bagi membakar semangat mereka sebelum tarikh keramat PRU-13, Ahad ini.

"Pengisiannya adalah ceramah-ceramah sempena PRU-13. Kita mahu sampaikan mesej penting pada malam itu secara serentak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Guru-guru di Sekolah Menengah Tengku Mahkota, di sini, Khamis.

Sementara itu, katanya sehari selepas perhimpunan itu, setiap Pusat Mengundi Daerah (PDM) di Parlimen Muar akan mengadakan solat hajat dan majlis tahlil sebelum mengadakan mesyuarat di tempat masing-masing sebagai persediaan hari mengundi.

"Kita mahu mereka pulang awal pada hari terakhir kerana tidak mahu seperti pilihan raya 2008 yang mana mereka terpaksa balik sehingga lewat malam dan keesokkannya keletihan.

"Hari terakhir itu kita hanya tawakal dan berdoa semuanya berjalan lancar dan bersiap pada hari mengundi," katanya.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, jentera BN akan memastikan keselamatan semua pengundi dan bekerjasama dengan pihak terlibat PRU-13 bagi memastikan keadaan terkawal dan tidak tercetus hura hara.

Artikel Lain