suria

Hassan Ali Rayu Rakyat Fikir Tentang Hak Istimewa Melayu, Islam dan Raja Sebelum Mengundi

MUAR: Presiden Jalur Tiga (Jati) merayu dengan berulang kali agar orang ramai terutamanya berbangsa Melayu berfikir dengan matang tentang hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu sebelum keluar mengundi Ahad ini.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden PAS menegaskan pembangkang Pakatan Rakyat ( PR) melalui manifestonya secara terang-terangan menolak semua hak keistimewaan yang telah termaktub dalam perlembagaan ini.

"PR pernah menyatakan untuk mansuhkan Mara dan jika ini berlaku bagaimana nasib 42 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Mereka juga nak hapuskan askar Regimen Melayu.

"Mereka mahu sangat Gelang Patah dan Johor kerana negeri ini dekat dengan Singapura dan mudah untuk mereka bergabung," ujarnya ketika berucap di Taman Sungai Abong, dekat sini.

Yang turut hadir calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bakri, Chris Lee Ching Yong dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Datuk Saipolbahri Suib.

Hasan Ali yang juga bekas Naib Presiden Pas turut menyeru agar masyarakat terutamanya kaum wanita berganding bahu dengan membantu kempen yang berbaki tiga hari sahaja lagi.

"Ketika saya dalam PAS saya kerja kuat untuk menang, kami tiada media yang bantu tapi kami guna pendekatan yang sangat berkesan dengan keluar berjumpa dan bermesra dengan semua orang.

"Kaum wanita juga boleh tolong kempen dengan cara beritahu jiran-jiran mereka terutamanya yang duduk dengan kaum-kaum lain untuk pilih BN, paling tidak pun mereka buat kuih lebih sedikit dan hantar kerumah jiran tetangga sebelum bantu memperkenalkan calon," katanya.

Tegasnya, dia yakin parti BN merupakan satu-satunya parti yang membela dan mempertahankan hak-hak istimewa ini dan menganggap ia wajib dipilih oleh orang Melayu.

Artikel Lain