suria

Dua Lagi Suspek Ditangkap, Polis Selesaikan Kes Pembunuhan Pemandu Lori

SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya menyelesaikan kes pembunuhan seorang pemandu lori di Subang Jaya pada Ahad lepas, selepas memberkas dua lelaki di Taman Puchong Perdana, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Mohd Adnan Abdullah berkata kedua-dua suspek itu yang berusia 18 dan 21 tahun, ditahan di sebuah rumah di kawasan itu pada kira-kira pukul 11.30 malam, Selasa lepas.

"Ketika penahanan dibuat, polis turut merampas sebilah parang panjang, dua buah motosikal dan lima telefon bimbit daripada pelbagai jenis, dipercayai milik kedua-dua suspek.

"Hasil pemeriksaan awal, polis percaya parang dan motosikal berkenaan digunakan suspek untuk pergi ke tempat kejadian bagi melakukan kegiatan jenayah mereka," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini Khamis.

Mohd Adnan berkata pemeriksaan terhadap satu daripada motosikal itu mendapati ia pernah dilaporkan hilang di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, awal tahun ini. Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita sanggup mengupah sekumpulan lelaki untuk membelasah suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori, kerana tidak tahan sering dipukul oleh suaminya itu.

Difahamkan, niat asal wanita itu hanya mahu mengajar suaminya yang berusia 40 tahun, namun kesemua suspek yang menerima upah berjumlah RM3,600 dari wanita itu telah bertindak memukul mangsa sehingga mati.

Berikutan kejadian itu, polis telah menahan lima lelaki termasuk wanita itu di Subang Jaya dan Puchong sejurus selepas kejadian.

"Susulan penahanan lima lelaki itu, kita berjaya menahan dua lagi suspek... dengan penahanan dua lelaki yang merupakan suspek terakhir, kes bunuh itu, kita sahkan kes ini telah selesai.

"Kelima-lima suspek yang ditahan sejurus kejadian pada 28 April lalu kini direman sehingga 5 Mei ini, manakala dua suspek terakhir ini masih menunggu arahan tahanan reman untuk siasatan lanjut pihak polis," katanya.

Mohd Adnan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Beliau turut berterima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya kesemua suspek itu. -BERNAMA

Artikel Lain