suria

BN Kelantan Jamin Cakna Peniaga Jika Menang PRU-13

KOTA BARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan memberi jaminan akan mencakna golongan peniaga di negeri itu terutama Kota Baru sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, cakna itu bermaksud bertemu secara bersemuka dan pendekatan itu akan dilaksanakan bersama peniaga.

"Cakna ini bermakna 'jumpa mata' (bersemuka), ambil kira pandangan peniaga kecil dan kita selesaikan masalah.

"Mungkin bukan semua masalah dapat diselesaikan tetapi yang penting kita adakan hubungan, boleh berjumpa dengan meluahkan masalah," katanya.

Mustapa berkata demikian ketika berucap kepada kira-kira 2,000 hadirin pada majlis Pelancaran Gabungan Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil dan Penjaja Kota Baru di sini, Rabu malam.

Turut hadir ialah calon BN Parlimen Kota Baru, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas, Kanidy Omar; calon BN DUN Kota Lama, Tan Ken Ten; calon BN DUN Bunut Payong, Mohd Fakhrurazi Abdul Rahim; Pengerusi Gabungan Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil dan Penjaja Kota Baru, Kassim Ahmad serta Timbalannya, Nik Rashid Nik Ismail.

Mustapa berkata, walaupun hanya peniaga kecil tetapi mereka merupakan kumpulan yang besar dan berpengaruh.

"Saya Menteri kepada Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) tetapi peniaga kecil juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab saya di bawah perusahan kecil dan sederhana (PKS).

"Kita akan jumpa, kita akan cakna, kita akan dengar dan akan cuba sedaya-upaya untuk selesaikan masalah," katanya.

Menurut Mustapa, banyak perkara akan dirancang terhadap peniaga termasuk mengkaji semula lesen perniagaan bagi meringankan beban golongan itu.

"Tetapi (sekarang) yang paling menyedihkan ialah perniagaan yang merosot. Ada premis perniagaan yang tidak sempurna.

"Ini mengesahkan kerajaan negeri telah gagal untuk mentadbir negeri ini, untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, di bawah Barisan Nasional, kita akan pastikan kehidupan di Kelantan akan berkembang dan membolehkan mereka untuk berniaga," katanya.

Artikel Lain