suria

Bilangan Hadirin Jadi Kayu Ukur Pembangkang Yakin Menang

MUAR: Pakatan Rakyat ( PR) menganggap bilangan orang ramai yang hadir pada ceramah mereka sebagai kayu ukur yang memberi petanda yang baik kepada mereka untuk mencapai misi menakluki Nusajaya dan Putrajaya.

Dalam setiap ceramah ketika berbaki beberapa hari sahaja lagi menentukan kerajaan melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mereka sudah berangan-angan untuk mengangkat sumpah menukar perdana menteri.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali percaya rakyat Johor bakal memberi kejutan kepada perubahan pemerintahan pada PRU-13 biarpun negeri itu merupakan "tiang seri" kepada Barisan Nasional (BN).

"Melalui kehadiran yang semakin hari semakin ramai, saya sangat yakin orang di negeri ini mahukan perubahan.

"Walaupun pilihan raya lalu mejoriti kemenangan BN agak besar tapi kita yakin dapat menukar majoriti tersebut seperti yang terjadi di Selangor," ujarnya dalam satu ceramah di Taman Mawar, di sini, malam Rabu.

Turut hadir pada ceramah tersebut adalah calon PKR Parlimen Muar, Hizwan Ahmad dan calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Dr Ahmad Taslim.

Jelas beliau, biarpun barisan pemimpin PR kebanyakan masih muda dan tiada pengalaman namun beliau yakin mereka mampu mengalas tanggungjawab bagi membela nasib rakyat.

"Pemimpin muda dan tiada pengalaman itu bukan isu, kalau kita lihat pemimpin daripada BN juga ramai yang mula menyertai politik di usia 30an.

"Perjalanan akan mematangkan mereka dan yang penting mereka mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik," ujarnya.

Ceramah yang bermula kira-kira pukul 8 malam itu berlaku sedikit kekecohan apabila sebuah trak jentera BN tersesat memasuki kawasan perhimpunan.

Namun dengan bantuan beberapa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang turut berada di situ dapat meredakan keadaan.

Artikel Lain