suria

Azizan Optimis Kedah Kekal Milik Pakatan

ALOR SETAR: PAS optimis Pakatan Rakyat Kedah boleh mengekalkan penguasaan mereka di negeri ini bagi penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dengan pertambahan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada kempen pusingan akhir yang berbaki dua hari lagi sebelum hari pengundian pada Ahad ini.

"Nampaknya (peluang) makin cerah kerana kita yakin ada beberapa kerusi yang kita tak dapat dulu (PRU 2008), kita akan dapat balik.

"Kalau dulu 16 (kerusi yang dimenangi PAS) kali ini mungkin tambah satu atau dua lagi (kerusi). Itu pun tertakluk kalau keadaan itu normal, tak ada apa-apa perkara negatif berlaku sehingga pilihan raya. Tapi kalau berlaku luar daripada dugaan, itu kita kira kecemasan," katanya pada sidang media di Sri Mentaloon di sini, Khamis.

Selain itu Azizan turut menyuarakan keyakinannya bahawa sekutu mereka daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP turut akan menyumbang pertambahan kerusi yang dimenangi mereka berbanding PRU 2008.

"Kita juga yakin beberapa kawasan yang dulu PKR kalah, maka kali ini mereka akan menang.

"Berdasarkan kepada tindak balas rakyat dan suara rakyat, sokongan itu meningkat. DAP juga mungkin akan tambah kerusi. Dulu DAP kalah di Derga sebab saingan tiga penjuru dengan PKR," katanya.

Pada PRU 2008, PAS berjaya memenangi 16 kerusi DUN manakala PKR dan DAP masing-masing hanya lima dan satu kerusi.

Bagi PRU-13, Pakatan Rakyat Kedah mengekalkan status quo mereka apabila PAS diberi kepercayaan bertanding di 24 kerusi DUN sementara PKR dan DAP masing-masing sepuluh dan dua kerusi.

Artikel Lain