suria

Wakil TV3 Di Jakarta Didik Budiarto Meninggal Dunia

JAKARTA: Wartawan kanan dan wakil stesen televisyen TV3 di Jakarta, Didik Budiarto, 54, meninggal dunia secara mengejut pada petang Rabu.

Anak lelakinya Kevin William Timothy berkata bapanya disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di sini pada pukul 6 petang.

Kevin, yang sering membantu bapanya membuat liputan berita dan program TV untuk stesen TV swasta Malaysia itu, berkata Pak Didik, secara tiba-tiba mengadu kurang sedap badan dan minta dibawa ke hospital.

"Bagaimanapun sebaik tiba di hospital papa sudah tiada. Doktor juga tidak dapat berbuat apa-apa," kata Kevin ketika dihubungi pada Rabu.

Laporan berita terakhir yang dikirim Pak Didik kepada TV3 ialah mengenai pusat percutian Tangkuban Perahu di Bandung, yang mula dibuka semula kepada orang ramai selepas ditutup beberapa bulan lepas.

Sepanjang kerjayanya sebagai wakil TV3 di Jakarta selama lebih 10 tahun, Pak Didik banyak menyumbang jasa dalam usaha mengeratkan persahabatan Malaysia dan Indonesia.

Beliau meninggalkan seorang balu Sylvia Palandeng dan dua anak, Kevin dan Melissa Tania.

Mendiang akan dikebumikan di Pondok Kelapa di sini pada Jumaat. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain