suria

Rakyat Tiada Alasan Tolak Najib - Pairin

KOTA BELUD: Rakyat di Sabah tiada alasan untuk menolak Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah membuktikan dirinya seorang pemimpin yang benar-benar prihatin dengan masalah rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata Najib selaku Perdana Menteri juga membuktikan dirinya peka dengan kehendak setiap lapisan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program.

"Perdana Menteri mempunyai rekod prestasi yang baik, sama ada dari segi ekonomi, infrastruktur atau sosial dan beliau telah banyak kali turun padang melihat masalah kita.

"Apabila ada pemimpin yang baik dan sering melaksanakan tugas dengan cemerlang, maka tiada alasan untuk kita melepaskannya supaya kesinambungan kemajuan di sini dapat diteruskan," katanya semasa berucap pada pelancaran Pesta Keaamatan peringkat negeri yang dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, di padang pekan Kota Belud di sini, Rabu.

Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah, berkata Najib banyak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di Sabah sejak dahulu termasuk penubuhan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyelesaikan isu pendatang tanpa izin. Mengulas Pesta Kaamatan itu, Pairin yang digelar Huguan Siou (Pemimpin Agung) oleh masyarakat Kadazandusun Murut, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Sabah, berkata sambutan berkenaan merupakan jambatan perpaduan pelbagai etnik yang terdapat di Sabah.

"Sambutan ini juga memberi peluang terbaik untuk kita menunjukkan keunikan budaya yang merupakan sebahagian daripada khazanah negara yang tidak ternilai di zaman moden ini," katanya.

Sambutan kali ini menggunakan tema 'Kekalkan Muhibah dan Persefahaman Melalui Kaamatan' (Tihombus Piunungan Om Pirotian Maya Kaamatan), yang dipilih sendiri oleh Pairin. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain