suria

Rakyat Terengganu Perlu Buat Pilihan Bijak, Pastikan Tidak Kembali Ke Zaman Kegelapan - Najib

SETIU: Rakyat Terengganu harus membuat pilihan tepat dalam pilihan raya umum (PRU) Ahad ini bagi memastikan negeri ini tidak kembali ke zaman "kegelapan" semasa di bawah pentadbiran PAS, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Meminjam slogan calon Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh, "masihkah kau ingat," Perdana Menteri mengingatkan rakyat Terengganu bagaimana PAS semasa mentadbir negeri ini telah menutup tadika, gagal menguruskan sampah sarap serta tidak menunaikan janji untuk melaksanakan hukum hudud.

"Jika rakyat terus beri kepercayaan kepada BN, Insya-Allah, Dasar Transformasi Nasional akan diteruskan, dan landskap negeri Terengganu ini akan berubah hebat dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 penduduk Setiu yang hadir pada majlis penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012 di Kampung Bukit Wan di sini, Rabu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan calon Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Najib yang juga Pengerusi BN berharap rakyat Terengganu akan terus memberi kepercayaan dan mandat kepada kerajaan negeri bagi memastikan negeri ini kekal milik BN.

Beliau juga turut mengingatkan rakyat Terengganu supaya memberi mandat yang kuat kepada BN untuk membolehkannya membentuk kerajaan di peringkat nasional.

Najib berkata kesatuan parti dalam pakatan pembangkang hanya sekadar demi politik semata-mata tanpa perjuangan dan ideologi yang selari.

'Ini semua politik...kawan dengan (Lim) Kit Siang pun politik...(Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) pun dah mengaku bukan dia setuju dengan DAP, PKR. Tapi kalau tidak setuju kenapa nak bergabung?

"Bila nak bergabung tapi hati tak setuju, itu maknanya retak menanti belah...jadi bagaimana kita hendak letak kepercayaan (pada pembangkang), " katanya.

Najib turut menyelar janji Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak yang disifatkan hanya 'drama', dengan mengambil kira perkembangan terkini di Indonesia mengenai keputusan kerajaan republik itu untuk menaikkan harga minyak.

"Dia ingat senang nak turunkan harga minyak, elektrik, air dan menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)? Kalau senang kenapa negara lain tak buat?

"Indonesia yang merupakan negara pengeluar minyak yang lebih besar dari kita pun nak naikkan harga minyak kerana terpaksa menanggung subsidi yang berat dan membebankan," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga memutuskan untuk menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bukannya menurunkan harga minyak bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dalam agihan bantuan dan hanya mereka yang layak mendapat manfaatnya.

Dalam pada itu, Najib mahu rakyat menilai antara reformasi pakatan rakyat yang memecah-belah rakyat dan agenda transformasi BN yang mengajak rakyat melakukan yang lebih baik untuk negara.

Najib berkata sebagai kerajaan, BN sudah mempunyai visi jelas untuk masa depan rakyat berpandukan agenda transformasi nasional dengan transformasi luar bandar menjadi antara agenda utama.

Terdahulu, Najib berkata beliau yakin sokongan padu yang ditunjukkan masyarakat luar bandar terhadap Barisan Nasional (BN) sekarang berdasar kepada keyakinan mereka bahawa hanya kerajaan BN yang mampu mengubah kehidupan komuniti di kawasan itu.

Beliau juga percaya sokongan itu diberi kerana masyarakat luar bandar sudah kecewa dengan sandiwara dan penipuan pakatan PKR-DAP-PAS selama ini.

"Ke mana saja saya pergi, boleh dilihat terutamanya di kampung dan desa, masyarakatnya penyokong tegar BN.

"Bila saya tanya diri sendiri (asas sokongan bertambah), saya simpulkan bahawa mereka (masyarakat luar bandar) dapat menilai bahawa selama ini yang mengubah keadaan hidup mereka di luar bandar adalah kerajaan BN," katanya sambil disambut tepukan gemuruh daripada hadirin.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain