suria

Piket Nube di Segamat Bermotif Politik - Subramaniam

SEGAMAT: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam menyifatkan rancangan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) untuk berpiket di sini pada tiga hari terakhir kempen pilihan raya umum ke-13 bermotif politik.

Ini kerana katanya NUBE tiada alasan untuk datang berpiket di Segamat kerana isu yang cuba dibangkitkan iaitu kesatuan dalaman Maybank sudah menjadi kes mahkamah.

"Jika mereka terus melakukan piket di sini bermakna mereka diibarat tidak menghormati keputusan mahkamah malah saya telah meminta NUBE untuk tunggu keputusan mahkamah namun mereka enggan," katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Pekerja peringkat daerah Segamat, di sini, Rabu.

Dr Subramaniam yang juga calon Barisan Nasional kerusi Parlimen Segamat, juga melihat rancangan piket NUBE itu sebagai cubaan untuk mencetuskan provokasi menjelang hari mengundi pada Ahad ini. Pada pilihan raya ini, Dr Subramaniam yang mempertahankan kerusi itu untuk kali ketiga dicabar calon PKR Datuk Chua Jui Meng. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain