suria

Pengundi Diminta Sokong BN Kerana Pakatan Rakyat Tidak Lestari - Muhyiddin

KUALA KRAI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta supaya pengundi menyokong Barisan Nasional (BN) kerana Pakatan Rakyat disifatkan sebagai satu gabugan yang bukan lestari, tidak bertahan lama dan boleh menimbulkan masalah kepada negara.

Muhyiddin mendakwa, terdapat segelintir ahli PAS berasa sangsi terhadap parti dan mempersoalkan kewajaran mereka untuk terus kekal dalam pakatan pembangkang.

Katanya, ia berikutan kenyataan pemimpin-pemimpin DAP tertentu yang meminta di kalangan mereka dan orang bukan Islam supaya tidak menyokong PAS.

"Jadi, hal sebegini amat bahaya bagi demokrasi di Malaysia. Kalau rakyat Malaysia tersalah pilih dan memilih mereka (PAS) dan selepas itu tidak bersetuju dengan banyak perkara, mereka akan tinggalkan Pakatan dan keadaan akan terumbang-ambing dan ini akan menjejaskan proses pembentukan kerajaan dan banyak isu lain akan timbul.

"Sebab itu saya sarankan supaya rakyat berhati-hati dalam soal pilihan raya ini dan yang terbaik adalah pilih Barisan Nasional," katanya pada sidang di Jeli dekat sini, Rabu.

Beliau berkata demikian mengenai laporan bahawa DAP berkempen seolah-olah tidak menyokong PAS sedangkan kedua-dua parti itu di bawah Pakatan Rakyat.

Muhyiddin berkata, PAS terus bersama dengan Pakatan Rakyat kemungkinan disebabkan oleh strategi parti itu untuk mendapat sokongan rakyat membuahkan hasil apabila memperoleh kemenangan di Kedah dan Kelantan, di mana ketika itu kesemua parti di bawah Pakatan masih belum mengetahui 'isi hati' masing-masing.

"Mungkin sebab itu, mereka terdorong untuk adakan kerjasama, tetapi selepas lima tahun berlalu maka barulah mereka dapat lihat dari segi ideologi, cara dan isu-isu yang mereka perjuangkan tidak sama macam soal negara Islam dan hukum hudud.

"Ini sudah jelas memang awal-awal lagi tiada sepakatan maka sebab itu pada peringkat yang terkini mereka nak buat satu pendirian, yang lebih nyata bahawa mereka tidak bersatu sebenarnya," katanya.

Menurut Muhyiddin, hanya pemimpin 'atasan' PAS yang menunjukkan yang mereka masih bersatu tetapi di peringkat bawahan sudah tidak yakin terhadap parti.

Beliau mendakwa ramai ahli PAS sudah menolak kerjasama ini cuma Pakatan Rakyat yang disifatkan kian rapuh ini masih diteruskan.

"(Ini) kerana dah lewat, pilihan raya nak dekat (maka) bertahan jugalah. Saya rasa ini 'retak menanti belah' di mana sampai ketika ia akan berlaku.

"Bagi kami, ia merupakan trend yang bahaya dan saya mengajak rakyat menyokong Barisan Nasional," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain