suria

Kerajaan Serius Mengenai Pelan Pencen Swasta

SEGAMAT: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S.Subramaniam berkata kerajaan amat serius mengenai pelan terhadap pekerja-pekerja di sektor swasta untuk menerima pencen selepas mereka bersara nanti.

Beliau berkata dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terutamanya bagi kategori berpendapatan rendah sering digunakan dalam tempoh tiga tahun sehingga menyebabkan ramai tergolong dalam kategori miskin tegar.

"Selepas meneliti model digunakan pelbagai negara membangun dan perbincangan dengan agensi-agensi perdagangan di sini, kerajaan mengambil langkah awal dengan meminta kumpulan pemikir untuk mengendalikan kajian komprehensif mengenai perkara itu tahun lalu.

"Baru-baru ini mereka mendedahkan hasil penemuan kajian itu dan mencadangkan beberapa kaedah untuk melaksanakan model tersebut tetapi menyedari terdapat banyak kesan dan cabaran sebelum draf yang sesuai boleh disediakan," katanya.

Menurut beliau, tiada jangka masa ditetapkan untuk pelaksanaan tersebut kerana ia memerlukan penyelarasan supaya ia tidak akan membebankan majikan dan menjejaskan ekonomi.

Subramaniam berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja peringkat daerah Segamat di padang awam Batu Anam di sini, pagi Rabu.

Sambutan Hari Pekerja pada tahun ini bertemakan 'Pekerja Pemangkin Transformasi Negara'.

Kira-kira 1,500 orang menghadiri sambutan tersebut di mana 700 daripadanya terdiri daripada mereka yang bekerja di 61 ladang berdekatan kawasan itu, pekerja kilang, kakitangan awam, wakil dari Cuepacs, MTUC dan pelbagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Pegawai Daerah Segamat Abdul Rahim Nin.

Artikel Berikut

Artikel Lain