suria

Kenaikan Elaun Penjawat Awam Masih Dibincang - KSN

NILAI: Semua tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), untuk menambah baik elaun yang diterima penjawat awam masih pada peringkat perbincangan, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Katanya, perbincangan dari semasa ke semasa itu melibatkan Cuepacs dan agensi lain berkaitan.

"Perbincangan itu termasuklah Elaun Sara Hidup (Cola) dan lain-lain yang diminta Cuepacs. Isu bagi penjawat awam yang tinggal di kuarters (yang meminta dibayar penuh elaun Cola) dan mereka yang duduk rumah sendiri pula akan ada tuntutan lain.

"Malah, kenaikan imbuhan (elaun) tetap perumahan juga dibincangkan bagaimana pun semuanya berdasarkan kepada kewangan semasa kerajaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan, di sini Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Ali mengulas mengenai tuntutan Cuepacs baru-baru ini, berhubung beberapa cadangan kenaikan elaun penjawat awam, antaranya Imbuhan Tetap Perumahan, Cola, tuntutan penginapan, status jawatan kontrak, gaji maksimum dan peranan ketua jabatan.

Beliau berkata, kerajaan dari semasa ke semasa telah melakukan penambahbaikan dan penyelarasan gaji penjawat awam dengan terbaharu, pergerakan khas gaji sebanyak tiga peratus bagi yang mencapai tahap gaji maksimum.

Selain itu katanya, kerajaan telah melakukan keserataan pangkat pasukan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang sekali gus akan melonjakkan transformasi perkhidmatan awam.

Terdahulu Omar dalam ucapannya berkata, Cuepacs akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan tiada lagi penjawat awam berstatus kontrak menjelang tahun 2015.

Katanya, semua penjawat awam yang berstatus kontrak perlu diserap ke jawatan tetap atau dilantik ke jawatan lain demi meningkatkan imej perkhidmatan awam negara ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain