suria

Jangan Hukum BN Hanya Kerana Kecil Hati Dengan Seseorang YB - Ahli Akademik

MELAKA: Rakyat di negara ini diminta agar tidak menyimpan dendam dan menghukum parti Barisan Nasional (BN) hanya kerana pernah berkecil hati dengan seseorang wakil rakyat dari parti itu yang tidak berkhidmat dengan baik.

Penganalisis Politik Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata rakyat diharap tidak terlalu mengikut perasaan sehingga sanggup membuang kemakmuran sedia ada di negara ini dengan membuat pilihan yang dipengaruhi api dendam pada hari pengundian Ahad ini.

"Kalau wakil rakyat itu yang buat salah, itu dia, bukan kerajaan...saya tidak fikir kerajaan yang mengarahkan wakil rakyat itu mengecewakan rakyat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata rakyat di negara ini perlu menilai dan memberi kepercayaan kepada kerajaan BN yang sudah terbukti mampu menjaga kebajikan rakyat dan kemakmuran negara selama 56 tahun.

Ramlah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia Universiti Malaysia Perlis berkata banyak langkah transformasi dilakukan kerajaan demi rakyat antaranya melaksanakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) dan Kedai Buku 1Malaysia (KB1M).

Beliau berkata selain menjaga soal keperluan rakyat, kerajaan juga bersungguh-sungguh melakukan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pendapatan rakyat ke arah negara berpendapatan tinggi melalui inisiatif Pelan Tranformasi Ekonomi (ETP).

"Untuk memilih pimpinan perlu berdasarkan banyak faktor, bukan satu faktor sahaja, bandingkanlah.. dan jangan buang kemakmuran yang kita kecapi," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata BN yang menampilkan 33 peratus muka baru di peringkat Parlimen dan 49 peratus di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan pasukan yang terbaik bagi berkhidmat untuk rakyat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain