suria

Jangan Buat Kesilapan Sama - PM

BALING: Rakyat diingatkan supaya tidak melakukan kesilapan yang sama dengan memilih pemimpin yang gagal membangunkan Islam dalam konteks sebenar serta tidak berupaya membawa kemajuan kepada negara.

Sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengundi perlu menjadikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebagai platform untuk memilih sebuah kerajaan yang terbukti mampu mengisi harapan rakyat.

"Kalau dulu (PRU 2008) tersasar dan terpesong sekali tak mengapa, tapi jangan buat silap dua kali.

"Jangan biar kita dipatuk dua kali di lubang yang sama," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan rakyat di sini, Selasa.

Hadir sama ialah calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Baling, Datuk Azeez Rahim.

Mengulas lanjut Najib berkata, rakyat tidak seharusnya terus ditipu oleh pihak yang kononnya memperjuangkan Islam demi mendapatkan undi.

"Islam bukan hanya sebagai slogan, tapi kita perlu bangunkan Islam dengan pengisian yang sebenar.

"Sebaliknya sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu melihat kepada pihak yang boleh mengisi dua perkara besar," katanya.

Menurut Najib hanya BN yang boleh membantu rakyat membawa perubahan kepada masa depan yang lebih cerah dan pada masa yang sama mengangkat martabat Islam.

"Saya yakin di Baling kita sudah letakkan satu team yang kuat (calon) untuk menjadi wakil di untuk rakyat di sini.

"Saya percaya rakyat akan memberi kepercayaan kepada kita pada pilihan raya kali ini," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain