suria

Jangan Bawa Budaya Samseng, Provokasi Ke Felda - Hamzah

SELAMA: Pembangkang kini dilihat telah membawa masuk budaya samseng dan provokasi ke kawasan-kawasan Felda.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainuddin berkata keadaan di Felda pada masa dahulu adalah lebih aman berbanding hari ini.

"Dahulu Felda aman tak ada sorak-menyorak.

"Tak ada 'banner-banner' provokasi yang boleh menyebabkan ada pergaduhan. Sekarang sudah ada 'banner' yang buat provokasi terhadap anak Felda," katanya kepada pemberita, dekat sini, Rabu.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Perumahan Generasi Baharu Felda dan Penyampaian Skim Insentif Tanam Semula MPOB di Felda Ijok.

Hadir sama calon BN Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah, Hasbullah Ilias.

Hamzah yang juga penyandang Parlimen Larut berkata senario seperti ini dapat dilihat terutama pada golongan muda yang menyokong pembangkang.

Katanya, budaya maki-hamun tidak sepatutnya dibawa oleh parti pembangkang yang mendakwa menyokong Islam.

"Apabila terlalu ramai buat bising, maki-hamun...ini merupakan satu perkara yang tak dibawa oleh mereka yang konon-konnya memperjuangkan Islam.

"Kalau mereka benar perjuangkan Islam perkara ini tak timbul sama sekali," ujarnya.

Beliau berkata, golongan yang dilihat menyokong pembangkang adalah golongan yang jahil dan tidak mengetahui apa yang sebenarnya sedang berlaku.

"Dalam masa ke semasa kita akan rapatkan hubungan kita dan kita akan perbetulkan persepsi mereka terhadap perjuangan yang dibawa Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Hamzah menyeru supaya rakyat, masyarakat di Felda khususnya supaya bersyukur dengan rezeki, nikmat yang dikecapi hari ini.

"Cuba kita fikir balik apa nak jadi kalau kerajaan tak bagi tanah Felda ini.

"Tiba-tiba ada kira-kira 100 peneroka yang tak syukur kepada kerajaan Barisan Nasional. Orang yang tak bersyukur ini Allah kata akan beri azab kepada mereka.

"Sebab itu ada dalam generasi kedua ini yang perangai budaya samseng mereka nak bawa dalam Felda ini," katanya.

Untuk perumahan generasi baharu Felda Fasa 1, sebanyak 80 unit rumah akan dibina manakala 246 peneroka menerima skim insentif MPOB.

Artikel Berikut

Artikel Lain