suria

Fasih Bahasa Tamil & Melayu, Calon BN Di Sungkai Jadi Contoh Pemimpin 1Malaysia

Goh ketika bertemu salah seorang penduduk India yang dikenalinya sejak kecil di Ladang Sungei Chinoh, Trolak. -Foto mStar
Goh ketika bertemu salah seorang penduduk India yang dikenalinya sejak kecil di Ladang Sungei Chinoh, Trolak. -Foto mStar
Goh ketika bertemu salah seorang penduduk India yang dikenalinya sejak kecil di Ladang Sungei Chinoh, Trolak. -Foto mStar

SLIM: Lahir dan membesar di estet menjadi salah satu kelebihan buat calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai, Goh Kim Swee untuk menambat hati pengundi.

Goh, 49, berkata jika tidak kerana dibesarkan dalam suasana estet, tidak mungkin beliau fasih berbahasa Tamil dan Melayu yang boleh menjadi salah satu faktor bagi menentukan kemenangan BN di Sungkai pada kali ini.

Turut fasih berbahasa Cina dan Inggeris, Goh mengakui kelebihannya itu menyebabkan beliau mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat setempat terutamanya yang berbangsa India dan Melayu.

"Saya membesar di estet bersama-sama keluarga Melayu, Cina dan India. Zaman kanak-kanak saya cukup meriah dan hubungan kami sangat erat. Kami potong rumput, jaga lembu, mandi sungai dan main guli sama-sama.

"Membesar di sini membuatkan saya lebih menghargai kehidupan masyarakat berbilang kaum dan menghormati budaya mereka," katanya.

Goh yang ditemui ketika membuat kunjungan ke Ladang Sungei Chinoh, Trolak, tempat di mana beliau lahir dan dibesarkan berkata kelebihan yang dimiliki itulah yang digunakan untuk berkempen.

Beliau yang merupakan setiausaha MCA bahagian Tanjung Malim berkata dengan cara itu beliau dapat mendalami budaya masyarakat berbilang bangsa.

"Apabila berceramah saya menggunakan tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan India. Selain dapat mendalami budaya mereka saya juga akan lebih mengetahui apa yang mereka perlukan. Dari segi komunikasi tiada masalah," katanya.

Mengimbas bagaimana Goh fasih berbahasa Tamil, bapa kepada seorang anak ini berkata ia berlaku secara semulajadi apabila beliau tinggal di situ selama hampir 20 tahun.

Malah, masyarakat setempat melihat beliau sebagai seorang pemimpin contoh 1Malaysia kerana kebolehan bertutur banyak bahasa.

"Ada yang kata saya ini muka Cina jiwa India," jelasnya.

Mengenai peluangnya di Sungkai, beliau yakin dapat menarik ramai pengundi termasuklah daripada masyarakat India yang mewakili 19 peratus daripada keseluruhan daftar pemilih.

Secara keseluruhan, Sungkai mempunyai seramai 3,646 pengundi India.

"Saya dapat lihat kegembiraan penduduk di sini apabila seorang anak tempatan pulang ke tempat asalnya untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Seorang penduduk, Arumugam a/l Kumurappa berkata masyarakat setempat terutama kaum India begitu gembira apabila Goh dicalonkan kerana beliau berasal dari Sungkai.

"Kami pasti menyokong beliau kerana beliau rapat dan banyak membantu masyarakat India di sini.

Goh turut memegang jawatan Exco MCA Perak dan pengerusi MCA Jalan Kuala Slim.

Artikel Berikut

Artikel Lain