suria

Dua Petugas BN Diserang Ketika Pasang Bendera

BUKIT MERTAJAM: Dua petugas bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Bandar Perda cedera akibat diserang sekumpulan konvoi bermotosikal dipercayai penyokong pakatan rakyat ketika mereka sedang memasang bendera di Jalan Perda Utama, Bandar Perda di sini, awal pagi Rabu.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa Fakhrul Syakirin Aris, 17, dan Mohamad Syahidan Jaafar, 14, dipukul lima peserta konvoi berkenaan menggunakan batang kayu dan besi.

"Kami nampak kira-kira 200 peserta konvoi itu yang datang dari Jusco Bandar Perda melalui bilik gerakan kami sebelum mereka bertindak melakukan provokasi dan menjatuhkan bendera yang dipasang sepanjang jalan.

"Lima orang daripada kumpulan itu menghampiri kami sebelum menyerang. Salah seorang daripada mereka yang memakai kemeja berwarna hitam menendang kaki kiri saya menyebabkan kecederaan dan berdarah," kata Fakhrul Syakirin kepada pemberita di tempat kejadian di sini, Rabu.

Seorang lagi mangsa Mohamad Syahidan berkata beliau dipukul dengan kayu di kepala oleh salah seorang peserta yang menutup mukanya dengan bendera PAS sebelum penyerang itu cuba mencekiknya. "Saya bernasib baik kerana memakai topi keledar. Saya juga sempat dibantu oleh beberapa kawan yang segera membawa saya ke bilik gerakan apabila penyerang mencekik saya," katanya.

Beliau berkata kumpulan konvoi yang ramai itu menyebabkan dirinya bersama 30 petugas BN yang lain tidak dapat melawan dan bersembunyi di dalam bilik gerakan berkenaan.

Selepas kejadian itu, kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah pada pukul 4.15 pagi.

Sementara itu, calon BN bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh Dr Mazlan Ismail berkata kejadian itu sepatutnya tidak berlaku memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengingatkan supaya pilihan raya diadakan dalam keadaan aman dan tenteram.

"Saya tahu semalam PKR mengadakan satu ceramah yang agak besar di Taman Pauh. Lanjutan daripada ceramah itu terdapat beberapa ratus konvoi bermotosikal di kalangan mereka yang menutup jalan, membuat provokasi, mencabut bendera kita, mencantas poster BN.

"Ini merupakan satu tindakan yang sangat tidak berakhlak. Saya menyerulah kepada pimpinan PAS dan PKR supaya berilah nasihat sebaik-baiknya kepada petugas-petugas mereka," katanya yang hadir di tempat kejadian.

Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan di setiap bilik gerakan bagi memastikan kejadian seumpamanya tidak berulang. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain