suria

Bola Sepak Tidak Berparti Politik - Annuar Musa

KOTA BARU: Sama ada sukan bola sepak atau skuad bola sepak Kelantan, kedua-duanya tidak berkepartian dalam politik, kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, pengaruhnya dalam sukan itu tidak mempunyai kaitan dengan gerakan kempen sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Bola tak berparti, 'The Red Warriors' (gelaran skuad bola sepak Kelantan) tak berparti, itu milik semua orang. Tentang bagaimana orang muda nak menilai kedudukan pencalonan saya dan bagaimana kemenangan saya akan memperkasakan lagi usaha mewajibkan bola sepak Kelantan itu biarlah mereka menilai sendiri.

"Sebab rata-rata orang muda ini berpelajaran, mereka boleh membezakan antara yang baik dan tidak. Saya tak khuatir dari segi itu, cuma satu perkara yang saya fikir yang boleh dianggap sangat positif ialah gerakan kempen saya tidak tertumpu kepada pendekatan terlalu kepartian," katanya kepada pemberita di Melor dekat sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bagaimana pengaruhnya dalam sukan bola sepak Kelantan memainkan peranan untuk membantunya berkempen sebagai calon pada PRU-13.

Annuar berkata, beliau mengambil pendekatan terbuka dan sering memaklumkan kepada rakyat bahawa orang Umno dan PAS bersaudara.

"Dan saya keluarkan risalah aku janji. Jika saya jadi wakil rakyat, saya akan memberi perkhidmatan kepada semua tanpa mengira parti apa," katanya.

Mengenai pencabarnya di Parlimen Ketereh, Abdul Aziz Abdul Kadir dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyifatkan Annuar mempunyai kelebihan dari segi pengaruhnya dalam bola sepak untuk bertanding pada PRU-13, beliau berkata:

"Saya akui dia (Abdul Aziz) banyak kelebihan, dia Yang Berhormat (YB), dia pernah menang dan pernah mengalahkan saya. Saya menghormati dia dan dia juga adalah jiran saya. Dia dahulu pun pernah jadi anak buah saya, dia pun orang baik.

"Cuma orang dan pengundi di kawasan Peringat (Ketereh) dah bagi dia sekali (menang), kali ini pengundi hendak beri (kemenangan) kepada saya pula," katanya.

Annuar pernah ditewaskan oleh Abdul Aziz dengan majoriti 400 undi di Parlimen Ketereh pada pilihan raya umum 2008.

Pada PRU-13 kali ini, Annuar sekali lagi bertanding untuk merampas kerusi Parlimen itu daripada penyandangnya, Abdul Aziz.

Artikel Berikut

Artikel Lain