suria

Pakar Kesihatan Nasihatkan Calon PRU-13 Jaga Kesihatan Semasa Berkempen

KUALA LUMPUR Seorang pakar perunding kardiologi menyarankan calon-calon pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) supaya mengutamakan penjagaan kesihatan masing-masing dalam kesibukan mereka berkempen.

Datuk Dr Mohamed Rafiq Ibrahim Marican daripada Pusat Penjagaan Jantung Kuala Lumpur berkata, selain mengambil pemakanan seimbang, mereka juga harus meluangkan masa untuk mendapatkan rehat secukupnya.

"Ketika berkempen, biasanya masa seolah-olah tidak mencukupi disebabkan terpaksa mengikuti jadual padat untuk aktiviti berkempen. Ekoran itu, ramai yang mengabaikan faktor pemakanan seimbang seperti tidak mengambil sarapan.

"Kesihatan penting dan merupakan antara penyumbang utama dalam membina keyakinan semasa berkempen. Sudah tentu rakyat tidak mahu memilih calon yang sering sakit," katanya ketika ditemui Bernama di sini Selasa.

Dr Mohamed Rafiq, yang juga Pensyarah Kardiologi dan Perubatan di Universiti Antarabangsa Quest di Perak, turut menasihatkan calon-calon PRU13 supaya banyak minum air dan mengambil makanan berkhasiat termasuk pemakanan tambahan menambah tenaga dan mengelak kekurangan air dalam badan.

"Bagi mereka yang mempunyai penyakit seperti lelah dan kencing manis, saya sarankan mereka supaya sentiasa membawa ubat-ubat berkaitan dan mengambilnya mengikut waktu yang ditetapkan," katanya.

Dr Mohamed Rafiq berkata setiap orang berpotensi untuk menghidap penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung dan darah tinggi tanpa sebarang tanda awal.

Justeru, katanya pengurusan stres juga amat penting kerana tekanan perasaan boleh mempengaruhi kesihatan seseorang.

"Akibat daripada perasaan terlalu gembira dan terlalu sedih, ia juga boleh mencetuskan penyakit darah tinggi dan sakit jantung.

"Biasalah ketika berkempen pelbagai perasaan akan timbul, sama ada terlalu gembira setelah mengetahui keputusan pada hari pengundian kerana dipilih ataupun yang kalah akan berasa susah hati," katanya.

Artikel Lain