suria

Ooi Dakwa Bahu Dicederakan Calon DAP DUN Kubu Baharu

HULU SELANGOR: Calon Barisan Nasional di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Baharu, Jessie Ooi mendakwa beliau cedera selepas ditolak oleh Lee Kee Hion dari DAP ketika mengadakan walkabout di pasar malam di sini pada Isnin.

Ooi, 34, membuat laporan polis pada Selasa mendakwa bahunya lebam akibat insiden tersebut.

Dia mendapatkan rawatan di Hospital KKB.

Ooi berkata, beliau dan penyokongnya, kebanyakannya wanita, berjabat tangan dengan penduduk dan mengedarkan risalah semasa mereka bertembung dengan kumpulan penyokong Lee.

"Saya menghulurkan tangan kepada Lee dan kami berjabat tangan serta bergambar bersama-sama untuk jurugambar akhbar.

"Namun ketika kami berjabat tangan, tangan kirinya terus menolak bahu saya. Pada ketika itu, Lee tersenyum dan mencabar saya untuk berdebat.

"Saya memberitahu beliau ia membazirkan masa dan dia terus menolak bahu saya. Ibu saya melihat Lee bertindak sedemikian dan terus menarik saya," kata Ooi kepada The Star.

Ooi berkata, memandangkan penyokong Lee kebanyakannya lelaki, saya meninggalkan tempat itu dan kembali ke pejabat MCA di bandar.

Beliau menyedari bahunya sakit dan terdapat kesan merah.

Ketika dihubungi, Lee berkata dia turut melaporkan mengenai perkara itu kepada polis.

Lee berkata, beliau hanya menepuk bahu Ooi.

Selain mereka, Yoong Tham Fook, Pritpal Singh Mender Singh dan Nadarajah Subramaniam bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN itu.

Artikel Lain