suria

Kastam Tubuh Pasukan Khas Jalankan Siasatan Dalaman

KUALA LUMPUR: Kastam Diraja Malaysia menjalankan siasatan dalaman berhubung pembunuhan Timbalan Ketua Pengarahnya Datuk Shaharuddin Ibrahim bagi menentukan sama ada wujud elemen "orang dalam".

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata siasatan dilakukan oleh pasukan khas yang akan mengambil keterangan warga kastam termasuk mereka yang pernah bertugas dengan Allahyarham Shaharuddin.

"Sehingga kini kita telah memanggil beberapa anggota kastam dan keterangan mereka diambil oleh pasukan khas itu. Kita cuba sedaya upaya untuk mengetahui punca sebenar pembunuhan itu,"katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata pasukan khas itu yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili bekerjasama rapat dengan polis bagi mengesan suspek untuk dibawa ke muka pengadilan.

Dalam insiden kira-kira 8.15 pagi Jumaat lalu, Shaharuddin maut akibat ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.

Terdahulu, pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata polis telah merakam keterangan 35 individu termasuk orang awam bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Mohd Bakri berkata polis yakin dengan keterangan yang diberikan pihaknya akan mendapat petunjuk yang boleh membantu mengenal pasti motif pembunuhan serta suspek.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengarahkan polis menyegerakan siasatan dan usaha memberkas penjenayah terbabit kerana ia merupakan satu kejutan apabila penjawat awam dibunuh semasa sedang menjalankan tugas.

Dalam pada itu anak lelaki Allahyarham, Mohd Akhtar, 30, ketika dihubungi berkata, beliau dan keluarga sedia bekerjasama pada bila-bila masa sekiranya diperlukan bagi menangkap pembunuh ayahnya itu.

Beliau berkata keluarganya juga tidak berniat mencampuri urusan siasatan pihak berkuasa sebaliknya berharap agar kes itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Segala siasatan saya serahkan kepada pihak polis dan tidak akan mencampurinya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain