suria

Jais Tegas Larang Ceramah Politik Di Masjid, Surau Seluruh Selangor

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertegas dengan tidak membenarkan mana-mana individu ataupun pertubuhan politik menganjurkan ceramah serta aktiviti yang berunsur politik di masjid ataupun surau di seluruh negeri ini.

Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin berkata, semua pihak wajar menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang rumah ibadat umat Islam itu dijadikan tempat untuk berpolitik.

“Saya menyeru seluruh ahli jawatankuasa masjid dan surau di Selangor agar tidak membenarkan aktiviti seperti ini bertepatan dengan titah Sultan Selangor,” katanya kepada mStar Online dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.

Marzuki berkata, jabatan itu melalui bahagian penguatkuasaannya telah membuka bilik gerakan yang beroperasi dari pukul 7 petang hingga 10 malam bermula 29 April sehingga 4 Mei depan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang dilarang itu.

Jais juga katanya telah menyusun anggota penguat kuasanya bagi melaksanakan pemantauan secara berterusan di seluruh masjid dan surau dalam negeri Selangor.

Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti berkenaan diminta melaporkan terus dengan menghubungi talian 03-55143411 atau 03-55143422

Artikel Lain