suria

Depoh Tahanan Warga Asing Di Juru Akan Dipindahkan - PM

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata demi memenuhi permintaan penduduk, Depoh Tahanan Warga Asing di Juru akan dipindahkan ke satu kawasan yang akan ditetapkan kemudian.

Beliau berkata langkah itu diharap akan memberi kelegaan kepada kira-kira 15,000 penduduk di kawasan sekitar serta 900 pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Cina True Light.

"Atas permintaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Teng Chang Yeow, saya setuju untuk pindahkan depoh tahanan berkenaan ke tempat lain.

"Mudah-mudahan penduduk di kawasan ini akan rasa lega bila keputusan ini dilaksanakan nanti," katanya dalam ucapan pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Tapak Pasar Malam Perkampungan Juru di sini Selasa.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 6.30 petang disambut dengan nyanyian lagu '1M4U' dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

"Saya nak tanya banyak mana rumah mampu milik dibuat kerajaan negeri...? Saya orang luar...orang Pulau Pinang lagi tahu...kenapa sebuah parti yang kata dia juara kepada orang ramai dan rakyat golongan pendapatan rendah dan sederhana lebih utamakan projek terowong dari membina rumah untuk rakyat," katanya.

Najib berkata BN sentiasa mendahulukan rakyat dan selalu berusaha mencari jalan bagaimana untuk membantu rakyat supaya dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BN negeri Datuk Zainal Abidin Osman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi MCA negeri Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan barisan pemimpin BN negeri.

Perkampungan Juru merupakan satu daripada perkampungan Cina yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah.

Pada PRU-13, Teng akan berdepan calon PKR Ong Chin Wen dan calon Bebas A. Mohan di DUN Bukit Tengah. - BERNAMA

Artikel Lain