suria

Cuaca Panas di Kebanyakan Tempat Pada Sebelah Pagi Hari Mengundi

KUALA LUMPUR: Cuaca diramalkan panas dan mendung di kebanyakan negeri pada sebelah pagi hari mengundi 5 Mei untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca mendung pada sebelah pagi di Pekan, Taiping, Teluk Intan, Rompin, Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Kapar, Klang, Kota Raja, Kuala Langat, Sepang, Telok Kemang.

Masjid Tanah, Kota Melaka, Pagoh, Ledang, Bakri, Muar, Parit Sulong, Ayer Hitam, Sri Gading, Batu Pahat, Pontian dan Tanjong Piai.

Manakala tempat-tempat yang akan hujan pada sebelah pagi ialah Lumut dan Bagan Datoh (Perak) serta Julau, Kanowit, Mukah, Selangau, Kapit, Bintulu dan Sibuti di Sarawak.

Cuaca bagaimanapun akan bertukar menjadi hujan dan ribut petir pada sebelah petang di kebanyakan tempat di seluruh negara. Orang ramai diminta merujuk kepada laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia: http://www.met.gov.my/, dan klik pada kolum "Pengumuman" untuk mengetahui maklumat cuaca.

Pada amnya masa mengundi ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah antara jam 8 pagi hingga 5 petang di seluruh negara.

Namun demikian ada juga kawasan yang masa mengundi dipendekkan terutamanya di Sabah dan Sarawak atas alasan keselamatan dan kesukaran pengangkutan. -BERNAMA

Artikel Lain