suria

Calon BN Parlimen Pandan Nafi Terlibat Dalam Sebarang Salah Laku Sebagai Seorang Peguam

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pandan, Gary Lim menafikan pada Selasa dakwaan yang mengatakan yang beliau pernah terlibat dalam salah laku profesion dan pernyataan palsu selaku seorang peguam.

Serentak dengan itu beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas lawannya dari PKR, Rafizi Ramli yang bertanggungjawab membuat pendedahan tersebut.

Bercakap dalam sidang akhbar di sini, Lim turut mengingatkan Rafizi agar berhenti menggunakan taktik kotor dengan mengeluarkan dakwaan-dakwaan itu.

“Pandan memerlukan seorang wakil rakyat yang dapat melakukan sesuatu untuk mereka bukan wakil rakyat yang bermain politik kotor seperti ini," tegasnya.

Sehari sebelum penamaan calon pada 20 April lalu, Lim telah menjadi sasaran dakwaan yang mengaitkannya dengan tindakan disiplin oleh Majlis Peguam kerana salah laku dalam profesion guamannya.

Rafizi yang bertanggungjawab membuat dakwaan itu telah mengemukakan beberapa dokumen untuk menguatkan hujahnya pada hari penamaan calon.

Kemudian sebaik sahaja Lim menyerahkan borang pencalonannya, Rafizi telah mengedarkan salinan laporan polis yang dibuat ke atas Lim, oleh sebuah firma guaman terkenal atas dakwaan membuat pernyataan palsu.

Rafizi turut mengedarkan salinan surat tunjuk sebab daripada Majlis Peguam bertarikh 21 Januari 2013 kepada Lim meminta penjelasan berhubung dakwaan tersebut.

Dan ketika ditanya berhubung dakwaan-dakwaan tersebut, Ramlan Ahmad, jurucakap pasukan perundangan Lim menegaskan, apa yang ingin ditegaskan oleh anak guamnya ialah tentang kandungan isu dakwaan tersebut.

“Apa yang didakwa oleh Rafizi itu bukanlah mengambarkan cerita sebenar keseluruhannya. Apa yang Rafizi edarkan kepada umum hanyalah separuh benar. Tetapi kami tidak boleh menceritakan segala-galanya pada waktu ini sehinggalah siasatan kami selesai,” jelas Ramlan.

Ramlan menegaskan, apa yang ingin dijelaskan di sini ialah, pihaknya menafikan dakwaan yang terkandung di dalam surat tunjuk sebab itu bukannya menafikan tentang kewujudan surat-surat berkenaan.

Sehubungan dengan itu Ramlan bagi pihak anak guamnya telah membuat laporan polis terhadap Rafizi di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang pada jam 12.45 tengah hari tadi.

Ramlan turut menegaskan yang Rafizi telah mendedahkan kandungan-kandungan surat berhubung isu berkenaan yang sepatutnya "sulit dan persendirian" dan beliau patut menanggung akibat daripada perbuatannya itu.

Menjawab satu soalan, Ramlan berkata pihak mereka bercadang untuk menyaman Rafizi antara RM50 hingga RM100 juta.

Artikel Lain