suria

BN Minta MB Selangor Jelaskan Soal Penjualan Tanah Selepas Pembubaran DUN

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor pada Selasa meminta Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat penjelasan berhubung urus niaga penjualan tanah yang didakwa dibuat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN)Selangor dibubarkan.

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata urus niaga tanah itu didakwa membabitkan tapak seluas 1,960 hektar iaitu tanah projek tebatan banjir dikenali sebagai Canal City yang dibatalkan oleh Abdul Khalid pada 2011.

"Kita mendapat maklumat urus niaga dibuat pada 15 April iaitu selepas DU NSelangor dibubarkan pada 4 April, antara anak syarikat kerajaan negeri Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) dan syarikat pemaju Dijaya Corporation Bhd.

"Urus niaga itu disahkan sendiri oleh CEO PNSB Datuk Ahmad Omar walaupun dinafikan oleh Abdul Khalid sebelum itu," dakwa Mohd Zin pada sidang akhbar di sini Selasa.

Beliau berkata tindakan kerajaan negeri itu bertentangan dengan peranan kerajaan sementara kerana membabitkan impak kewangan jangka panjang sedangkan mereka sepatutnya mentadbir urus infrastruktur sedia ada.

Mohd Zin yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor berkata yang lebih mengelirukan ialah apabila tanah itu dijual pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Sehubungan itu katanya, Abdul Khalid dan PNSB bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung perkara itu. - BERNAMA

Artikel Lain