suria

BN Akan Bawa Perubahan Besar Jika Tadbir Kedah - PM

ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Razak melahirkan komitmen Barisan Nasional (BN) untuk membawa perubahan besar kepada Kedah jika ia diberi mandat memerintah kembali negeri ini.

Perdana Menteri berkata, Kedah sepatutnya menerima banyak pembangunan dan kemajuan dan bukan sekadar terkenal sebagai negeri 'Jelapang Padi'.

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya bagi rakyat Kedah memilih BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Ahad ini.

"Bagi Barisan Nasional, saya ingin melihat Kedah maju macam negeri-negeri lain. Kalau kata jelapang padi sahaja seolah-olah tiada perancangan.

"Kita mesti membawa transformasi dan pembaharuan kepada rakyat Kedah," katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Kebangsaan Taman Awana, Pokok Sena dekat sini hari ini.

Najib berkata, beliau mempunyai banyak idea dan perancangan bagi melakukan pembaharuan di Kedah dan perkara itu tidak menjadi masalah jika BN diberi kepercayaan mentadbir negeri ini.

Tanpa mahu mengulas panjang mengenai apa yang dilakukan kerajaan PAS Kedah dalam tempoh lima tahun lepas, Najib berkata apa yang hendak dilakukan BN ialah membawa perubahan di negeri ini termasuk di kawasan parlimen Pokok Sena. "Sebab itu kita berani buat kad laporan...pencapaian dan penilaian prestasi supaya rakyat tahu.

"Kad laporan itu makna pencapaian, penilaian dan prestasi kita (BN)...rakyat lihat dan nilai kita satu persatu dan pilihan yang terbaik ialah dengan memilih BN," tegasnya. - BERNAMA

Artikel Lain