suria

Bekas Tahanan ISA Gagal Dalam Rayuan Kembalikan Semula Saman Sivil

PUTRAJAYA: Peguam M.Manoharan dan peguam P.Uthayakumar, yang mendakwa mereka ditahan secara salah mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk dikembalikan semula saman sivil RM200 juta mereka terhadap kerajaan.

Panel hakim lima anggota diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa mereka tidak boleh menyaman kerajaan untuk mencabar alasan penahanan mereka di bawah ISA dan memohon ganti rugi berdasarkan ketetapan "klausa penyingkiran" dalam Seksyen 8B ISA.

Ketetapan itu melarang sebarang cabaran atas merit keputusan itu terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong atau menteri untuk menahan seseorang di bawah ISA kecuali atas aspek syarat pematuhan prosedur.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hashim Yusoff dan Datin Paduka Zaleha Zahari, sebulat suara menolak rayuan mereka dan memerintahkan mereka membayar RM5,000 sebagai kos perundangan kepada kerajaan.

"Kami tidak bersetuju dengan anda. Rayuan ditolak. Kami bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan," kata Raus.

Manoharan dan Uthayakumar memfailkan saman sivil menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, superintenden pusat tahanan Taiping dan kerajaan sebagai defendan.

Dalam saman difailkan pada 9 Disember tahun lepas, kedua-duanya memohon ganti rugi RM100 juta, mendakwa penangkapan, penahanan dan perintah sekatan terhadap mereka adalah tidak sah di sisi undang-undang, menyatakan mereka tidak pernah, pada bila-bila masa, berbuat apa-apa, yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada negara.

Mereka mendakwa mereka ditahan oleh polis pada 13 Dis, 2007, dan masing-masing diperintah ditahan selama dua tahun di Kamunting.

Mereka dibebaskan pada 9 Mei 2009, selepas berada di pusat tahanan itu selama 514 hari.

Pada 24 Mac 2011, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman sivil mereka selepas membenarkan permohonan kesemua defendan untuk membatalkannya atas alasan ia menyalahgunakan proses mahkamah.

Pada 28 Ogos 2011, Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman mereka.

Permohonan habeas corpus kedua-dua mereka bagi dibebaskan daripada tahanan ISA ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 2009 yang memutuskan penahanan mereka adalah sah di sisi undang-undang.

Manoharan mewakili dirinya sendiri dan juga Uthayakumar manakala dua Peguam Kanan Persekutuan Najib Zakaria dan Azizan Md Arshad mewakili kerajaan. - BERNAMA

Artikel Lain