suria

APMM Tawau Gagalkan Cubaan Seludup 900 Liter Petrol Ke Negara Jiran

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 900 liter petrol ke negara jiran menggunakan bot jongkong awal pagi Isnin.

Ketua Penguatkuasa APMM Tawau, Kepten Maritim Wan Affandi Wan Ahmad berkata petrol berkenaan dirampas dari bot berkenaan, kira-kira 14.7 batu nautika dari Pulau Denawan, pada jam 12.15 pagi, ketika dalam perjalanan dari Pulau Mabul, Semporna, ke Sitangkai, Filipina.

"Semasa adegan mengejar berlaku, didapati awak-awak bot telah membuang tong-tong minyak ke laut untuk memudahkan mereka melarikan diri," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Wan Affandi berkata hasil pemeriksaan, seorang juragan dan tiga awak-awak beserta sembilan penumpang bot berumur antara 12 hingga 56 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Bot yang digunakan turut ditahan kerana didapati tidak memiliki sebarang lesen dan disyaki melanggar peraturan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) dan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup minyak petrol. - BERNAMA

Artikel Lain