suria

Tuduhan Hadi Bukti Pembangkang Sanggup Lakukan Apa Saja Demi Undi - Zambry

MALIM NAWAR: Pemimpin pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk memainkan isu sensitif demi kepentingan politik dan untuk meraih undi.

Itulah jawapan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika ditanya tuduhan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Umno mendalangi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

"Inilah tipikalnya pembangkang, waktu pilihan raya ini dia membangkitkan semula perkara yang tidak sepatutnya dibangkitkan, dimainkan untuk tujuan kepentingan politik...menagih undi," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Dataran Malim Nawar di sini Isnin.

Akhbar pada Isnin melaporkan Presiden PAS itu mendakwa persengketaan antara kaum itu didalangi oleh Umno untuk mengekalkan kuasanya.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata tiada apa-apa yang menghairankan apabila Abdul Hadi membuat tuduhan sedemikian kerana banyak lagi tuduhan yang telah dilemparkan pemimpin tertinggi PAS itu kepada BN.

"Inilah sikap mereka (pembangkang), tidak perlulah kita berdebat dengan golongan ini, secara akademik pun tak guna kerana pada waktu ini (kempen pilihan raya) mereka tidak peduli soal akademik, soal fakta atau sebagainya...yang penting mereka melemparkan tuduhan itu bagi menagih sokongan politik kepada mereka," katanya.

Mengenai kejadian bahan kempen BN di beberapa kawasan diturunkan pihak tidak bertanggungjawab, Zambry berkata semua parti politik perlu menjaga peraturan dan undang-undang pilihan raya serta adab berkempen.

"Kita perlu faham dalam dunia ini kita perlu melaksanakan kempen dalam suasana aman dan baik jadi tidak sewajarnya perkara begini berlaku. Tidak perlu cetuskan provokasi kerana inilah proses (pilihan raya) yang masing-masing boleh beri pandangan," katanya.

Baru-baru ini, bilik gerakan BN di Jalan Desa Rishah, Buntong di Ipoh dilempar bom petrol pada kira-kira 5 pagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain