suria

Tiga Suspek Letupan di Nibong Tebal Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

NIBONG TEBAL: Tiga suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes letupan di tempat ceramah Barisan Nasional (BN) pada 23 April lalu dibebaskan dengan jaminan polis lewat malam Ahad.

Jurucakap Polis Pulau Pinang bagi pilihan raya, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata ketiga-tiga suspek yang berusia antara 25 hingga 41 tahun dibebaskan sehari sebelum tempoh reman mereka tamat pada Isnin.

"Polis telah mendapat maklumat yang berharga daripada suspek dan siasatan masih lagi dijalankan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod memiliki bahan letupan, tambahnya.

Ketika kejadian pada pukul 10.15 malam itu, seorang pekerja parti sedang melalui longgokan samph di tempat ceramah BN di Taman Jawi apabila tiba-tiba letupan berlaku.

Kejadian itu mengakibatkan dia cedera terkena serpihan bom.

Polis turut menemui alat peranti letupan yang tidak meletup di tempat kejadian.

Artikel Sebelum

Artikel Lain