suria

Tiada Ceramah Politik Dibenarkan Di Pangkalan TLDM Lumut

Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak membenarkan mana-mana parti mengadakan ceramah politik di pangkalan tentera berkenaan di sini, kata Panglima Tentera Laut Laskamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Beliau menolak dakwaan pembangkang bahawa pemimpin Barisan Nasional (BN) diberikan kebenaran sementara pemimpin pembangkang dihalang daripada memasuki pangkalan tentera berkenaan.

"Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir dibenar masuk kerana beliau tidak bercakap mengenai politik, beliau ke sini untuk bercakap tentang perpaduan manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula ke sini atas kapasiti sebagai Menteri Pertahanan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan warga TLDM di Pangkalan TLDM Lumut, di sini Isnin.

Menurutnya dasar itu bagi mengelakkan berlaku pecah belah dalam kalangan warga TLDM.

Sebelum ini, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Laksamana Pertama (B) Datuk Abdul Imran Abd Hamid mendakwa beliau dihalang berkempen di Pangkalan Lumut.

Abdul Aziz berkata dakwaan tersebut tidak benar kerana dasar TLDM tidak membenarkan ceramah atau kempen politik dalam kawasan berkenaan.

Menurutnya dasar itu bagi mengelakkan berlaku pecah belah dalam kalangan warga TLDM.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terus memfitnah dan mempolitik isu kapal selam Scorpene, terutama ketika berkempen.

Abdul Aziz berkata pihaknya mendapat maklumat ada beberapa calon pilihan raya yang berterusan mempertikai pembelian kapal selam terbabit selain mendakwa aset berkenaan tidak berfungsi.

"...saya dengar banyak cerita dan saya sedang mengumpul bukti.. saya cabar mereka untuk menzahirkan kenyataan itu secara bertulis jika mereka berani.

"Kemudian bersedialah untuk berhadapan dengan saman fitnah... kita sudah berlembut sangat dengan mereka sebelum ini," katanya.

Beliau berkata kedua-dua inventori, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak itu berada dalam keadaan terbaik malah telah menyelam ke dalaman maksimum dan penembakan di dalam air yang menepati sasaran sejauh 55km.

"Saya telah berlayar tiga kali... ia berjalan lancar malah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sendiri sudah belayar dan beliau sendiri mengakui keupayaan kapal selam tersebut dan berbangga dengan keupayaannya," katanya.

Beliau berkata negara luar mengiktiraf dan memandang tinggi keupayaan serta kecekapan anggota dalam pengoperasian dua kapal selam berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata jumlah pengundi tentera dan pasangan yang berdaftar di Lumut adalah sebanyak 14,231 orang dan 12,766 daripada mereka akan mengundi awal di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkalan TLDM Lumut.

Katanya TLDM juga telah mempertingkatkan penguatkuasaan di perairan Sabah dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Darat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sepanjang musim pilihan raya bagi memastikan keselamatan masyarakat dan negara terjamin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain