suria

SPR Ambil Tindakan Tegas Pihak Beli, Jual Kertas Undi

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mendapati ada pihak terlibat dengan kegiatan membeli atau menjual kertas undi.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau didenda lima ibu ringgit atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut Kamaruddin orang yang disabitkan itu juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai pemilih atau pengundi dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun dari tarikh sabitan.

"Jika pada tarikh itu, dia telah pun dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Kamaruddin berkata terdapat pihak membangkitkan isu kemungkinan berlaku urusan pembelian kertas undi oleh sindiket tertentu dengan harga antara RM500 dan RM1,000, bergantung kepada tempat mengundi.

Perkara sama juga didakwa pernah berlaku pada pilihan raya sebelum ini.

"Berdasarkan semakan SPR terhadap kes-kes petisyen pilihan raya yang merujuk kepada Pilihan Raya Umum Ke-12, SPR mendapati tidak ada satu pun petisyen pilihan raya dikemukakan mana-mana pihak berkaitan isu pembelian kertas undi," katanya.

"Ini bermakna, perkara itu sekadar dakwaan yang tidak ada bukti dan kebenarannya boleh dipersoalkan," tambahnya.

Menurut Kamaruddin tindakan mengikut akta sama boleh dikenakan kepada mereka yang didapati melakukan kesalahan berikut; memasukkan ke dalam mana-mana peti undi apa-apa jua kertas, selain kertas undi yang dibenarkan oleh undang-undang; tanpa kuasa sewajarnya, membawa keluar dari tempat mengundi sebarang kertas undi atau didapati memiliki mana-mana kerta undi di luar sesuatu tempat mengundi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain