suria

Proses Pengundian di Amerika Syarikat Berjalan Lancar

NEW YORK: Proses pengundian di dua pejabat perwakilan Malaysia di Amerika Syarikat berjalan lancar, kata Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Othman Hashim pada Ahad.

Tiga pejabat perwakilan Malaysia iaitu di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC, Pejabat Konsulat Malaysia di New York dan Pejabat Konsulat Malaysia di Los Angeles, menjadi tempat mengundi.

Bagaimanapun semasa temuramah bersama Othman, Pejabat Konsulat Malaysia di Los Angeles masih lagi dibuka kerana perbezaan waktu selama 4 jam dengan pantai Timur Amerika.

Beliau semasa dihubungi Bernama di pejabatnya dari New York berkata kira-kira 600 rakyat Malaysia layak mengundi di ketiga-tiga pejabat perwakilan Malaysia di Amerika Syarikat.

"Ramai rakyat Malaysia yang tinggal di beberapa negeri yang berdekatan dengan Washington DC, hadir untuk menunaikan tanggungjawab mereka, dan kita juga menerima seorang pengundi yang paling jauh jaraknya dari ibu negara berkenaan, dari Texas," katanya.

Sementara itu Konsul Jeneral Malaysia di New York Syed Bakri Syed Abdul Rahman berkata pejabat berkenaan menerima kira-kira 220 sampul surat keutamaan dari ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk proses pengundian yang berlangsung Ahad.

Katanya daripada jumlah itu, lebih 135 orang yang hadir mengundi di pejabat perwakilan itu, manakala yang selebihnya tidak hadir.

"Bagaimanapun mereka boleh mengambil sampul surat keutamaan bagi membolehkan mereka mengundi, dengan syarat ia mesti dihantar terus ke SPR sebelum hari pengundian di tanah air," katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini, Isnin.

Katanya semua kertas undi yang berada di dalam karung undi akan dihantar secara terus ke ibu pejabat SPR di Putrajaya melalui beg diplomatik.

Tinjauan Bernama di Pejabat Konsulat Malaysia di New York mendapati ramai pengundi yang hadir untuk mengundi di pejabat itu, sanggup datang dari, paling jauh ialah Texas, Indiana dan Kansas, untuk mengundi.

Mereka sanggup membayar tambang penerbangan serta menyewa bilik hotel untuk berada di NYC bagi membolehkan mereka mengundi. Joanna Tan, Mark Hiew, Teoh Yong Xiang dan Teo Kwang Peng sanggup terbang dari Texas, Indiana dan Kansas untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Tan, 23, seorang pelajar, mempunyai sebab mengapa beliau memilih NYC untuk mengundi sedangkan beliau boleh ke LA atau Washington DC untuk berbuat demikian.

Katanya, beliau sanggup menaiki kapal terbang lebih lima jam dari Houston, dan memilih NY kerana mempunyai kelebihan sistem pengangkutan awam, yang membolehkan beliau senang bergerak terutama dari lapangan terbang ke pusat bandar selain lokasi pejabat konsulat di tengah-tengah pulau Manhattan serta sangat mudah mendapat pengangkutan awam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain